PUTRAJAYA - Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat isu 16 kes land swap membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan yang dipercayai berlaku sejak 1997.
Menurutnya, beliau telah memberikan keterangan selama tujuh jam berkaitan isu satu kes land swap di Paloh, Sembrong, Johor dan berharap pihak SPRM membuat siasatan menyeluruh dalam kes tersebut.
“Tiada apa yang hendak disorok. Jika saya salah, mereka boleh dakwa saya. Tapi, jangan dakwa saya sahaja kerana apa yang kita mahu lihat adalah keadilan selain siasatan kes ini perlu dijalankan tidak secara memilih kasih dan memilih bulu.
“Saya sudah menjawab semuanya hari ini namun, jangan terhenti setakat ini kerana ia melibatkan 16 kes land swap. Kita mahu tahu siapa dalang dan individu yang bersalah untuk mencari kebenaran,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan ibu pejabat SPRM.
Terdahulu, Ahli Parlimen Sembrong itu tiba di pekarangan ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 11 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna hitam dan tamat memberi keterangan kira-kira tujuh jam kemudian.
Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki telah memaklumkan bahawa akan memanggil Hishamuddin berkaitan isu tersebut.
Selain itu, SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membantu siasatan berhubung isu land swap.
Februari lalu, media tempatan melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga land swap membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, perkara itu terdedah hasil siasatan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.
Sebanyak 16 projek land swap dilakukan kementerian membabitkan 1,183 hektar tanah.
Sementara itu, menurut Hishamuddin, sekiranya siasatan tersebut berkaitan kes land swap, beliau berharap SPRM menyiasat kesemua 16 kes termasuk prosedurnya semasa pentadbiran Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan terdahulu sebelum beliau.
Tegasnya, beliau tidak memperoleh satu sen keuntungan dalam isu land swap dan sepanjang menjadi menteri, beliau menitikberatkan kebajikan anggota dan keluarga mereka.
“SPRM juga perlu siasat kementerian lain yang terlibat dalam kes ini. Apa yang istimewa tentang kes saya? Mereka perlu siasat siapa yang kehilangan wang, siapa yang diberikan kontrak untuk land swap dan siapa yang memperoleh keuntungan.
“Melalui siasatan ini, saya mahu Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan untuk memaklumkan (kepada khalayak) bahawa isu land swap ini berlaku sebelum saya memegang jawatan tersebut,” katanya. - K! ONLINE
0 comments
Post a Comment