Jun 14, 2019

Tiga Beranak Mati Rentung, Hasrat Berkahwin Tak Kesampaian

PETALING JAYA - Salah seorang mangsa maut dalam kejadian kebakaran rumah teres yang mengorbankan tiga beranak di Kampung Lindungan di sini sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun depan.

K Ganapathy, 32, ditemui maut bersama bapanya K Kandasamy, 62 dan ibunya S Jayaletchumy, 59, dalam kediaman tiga tingkat di Jalan PJS 6/2.

Adik kepada mendiang Jayaletchumy iaitu S Susila, 57 berkata, Ganapathy yang bekerja sebagai mekanik itu juga dijadualkan bertunang pada November ini.

“Sepatutnya kami semua akan pergi ke Nilai, Negeri Sembilan bertemu keluarga sebelah perempuan untuk acara pertunangan.

“Namun hasrat tidak kesampaian disebabkan tragedi ini,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Susila berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas menerima panggilan daripada jiran kira-kira jam 3.45 pagi.

”Masa itu saya berada di rumah di Sungai Way. Saya terkejut dengan panggilan itu dan segera ke rumah kakak saya (Jayaletchumy).

“Apabila saya sampai di rumah keluarga kakak, saya lihat bomba sedang padam api di rumah mereka dan mereka tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Susila berkata kakak dan abang iparnya mempunyai dua anak lelaki tetapi adik kepada Ganapathy meninggal dunia pada Deepavali tahun lalu.

“Adik kepada Ganapathy meninggal dunia yang juga berhajat hendak berkahwin, kini semua mereka sekeluarga sudah tiada,” katanya.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 2.47 pagi.

Bertindak atas maklumat itu, tiga jentera bomba bersama 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya serta BBP Subang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya dan BBP Subang tiba di lokasi 12 minit selepas menerima panggilan jam 2.47 pagi. -Sinar Online

0 comments

Post a Comment