Sep 4, 2012

3 Lagi Perpustakaan Bernilai RM10 Juta Di Sabah

Sabah akan mempunyai 27 perpustakaan negeri menjelang awal tahun depan apabila tiga lagi perpustakaan bernilai RM10 juta dijangka siap hujung tahun ini.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, pembinaan tiga perpustakaan yang terletak di Kuala Penyu, Matunggong dan Kota Belud itu kini lebih 90 peratus siap.

"Pembinaan perpustakaan ini bertujuan mewujudkan masyarakat berilmu dan rakyat yang mempunyai minda kelas pertama.

"Malah sukacita saya nyatakan di sini bahawa pada Februari lalu, Library@Suria juga dibuka yang terletak di tingkat empat kompleks beli-belah Suria Sabah," katanya pada majlis perasmian Pesta Buku Kota Kinabalu di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Wong Vui Yin.

Sebanyak 70 gerai diwujudkan pada pesta buku berkenaan melibatkan penerbit dan pembekal buku dari Semenanjung, Sabah dan Brunei.

Menurut Azizah, projek pembinaan perpustakaan di negeri ini dilakukan secara berterusan bagi memastikan seluruh masyarakat mendapat manfaat.

Tambahnya, selain perpustakaan negeri, terdapat 75 perpustakaan desa diwujudkan di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perpustakaan Negeri Sabah menyediakan perancangan strategik bagi melaksanakan kempen membaca di seluruh negeri.

"Ia akan melibatkan perpustakaan ibu pejabat, wilayah, cawangan dan luar bandar dengan melibatkan semua golongan masyarakat iaitu kanak-kanak, remaja, dewasa, warga emas dan orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Beliau seterusnya berharap lebih banyak karya penulis tempatan dihasilkan pada masa akan datang kerana pelbagai cerita mengenai budaya dan masyarakat di negeri ini amat berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat lebih tinggi. - Utusan

0 comments

Post a Comment