Mar 27, 2013

5 Pelajar UMS-KAL Ditahan Edar Risalah Hasutan

Ketua Polis Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Adzhar Othman mengesahkan lima pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) ditahan polis pada Sabtu.


Adzhar berkata kelima-lima mereka yang membabitkan tiga lelaki dan dua wanita ditahan kira-kira jam 2.40 petang di pusat bandar selepas dipercayai mengedarkan risalah berunsur negatif yang boleh membawa kepada kegusaran orang ramai sekaligus menggugat ketenteraman awam di pulau ini.

“Kesemua mereka berumur antara 22 hingga 24 tahun itu ditahan mengikut seksyen 11 (2) Akta Mesin Percetakan 1984 atas kesalahan memiliki dan mengedarkan risalah tanpa permit yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke 206 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Labuan, pagi kelmarin.

Adzhar berkata, sebanyak 18 keping risalah berjaya dirampas daripada mahasiswa tersebut yang antara lain terkandung perkataan yang berunsur negatif seperti Bantuan Rasuah 1Malaysia (BR1M) dan ‘Tukar Kerajaan’ serta merampas satu kain rentang yang tertera ‘Gabungan Gerakan Mahasiswa PRU13 Sabah dan Labuan’ (GM13).

Bagaimanapun Adzhar berkata, kesemua mereka dibebaskan kira-kira jam 1.30 pagi selepas semua keterangan mereka di ambil. Mereka dibebaskan dengan wang cagaran RM5,000 daripada seorang penjamin tempatan.

Sementara itu, menurut sumber lain kelima-lima mereka ditahan ketika cuba melakukan demonstrasi ‘Speaker’s Corner dengan menyebarkan risalah kepada orang awam di sekitar pusat bandar dan antara mereka yang ditahan ialah Pengerusi Pro Mahasiswa UMS-KAL, Shah Jabran Almughni.

Terdahulu Adzhar menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan yang melibatkan kira-kira 32 anggota polis pelbagai pangkat seterusnya membacakan teks amanat perutusan Ketua Polis Negara dihadapan kira-kira 150 anggota polis dan tetamu jemputan khas yang hadir.

Pada majlis itu, beliau juga turut menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis yang berkhidmat cemerlang serta kepada ahli-ahli korporat, orang awam termasuk pengamal media yang telah banyak membantu polis dalam pelbagai aspek keselamatan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Yunus Kurus, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Datuk Zainul Abidin, Pengarah Urusan Labuan Liberty Port Management (LLPM), Datuk Sri Alias Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Asean Supply Based, Datuk Harris Annuar Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Ferry Corporation (LFC), Shamsul Sahari.

-NewSabahTimes

0 comments

Post a Comment