Jun 7, 2018

Kerajaan Sabah Perlu Dedah Kisah Sebenar Tragedi 'Double Six'

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri  Sabah digesa mendedahkan 'cerita sebenar' kepada umum berhubung tragedi 'Double Six' yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Muhammad Fuad Stephens serta 10 lagi yang menaiki pesawat GAF Nomad Air pada tahun 1976.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Jimmy Wong berkata, masyarakat ingin tahu kisah sebenar di sebalik kejadian yang berlaku pada 6 Jun 1976 di Sembulan itu.

"Kebanyakan rakyat masih bercakap mengenai nahas pesawat tersebut serta perlu tahu kisah sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas majlis memperingati tragedi tersebut di Monumen Double Six di Sembulan.

Monumen itu didirikan sebagai memperingati kematian pemimpin utama Sabah serta penumpang lain dalam tragedi tersebut yang berlaku ketika pesawat dalam penerbangan dari Labuan ke Kota Kinabalu itu terhempas di Sembulan dan mengorbankan kesemua penumpang serta anak kapal.

Baru-baru ini, sebuah badan bukan kerajaan meminta agar perincian siasatan nahas tersebut yang siap pada 28 Oktober 1976 didedahkan kepada umum.

Terdahulu, majlis bermula dengan tafakur selama seminit diikuti dengan peletakan kalungan bunga diketuai oleh Wong dan anggota keluarga mangsa.

Balu Allahyarham Mohammed Fuad, Toh Puan Rahimah Stephens turut hadir.

Sementara itu, Wong berkata, monumen tersebut wajar dijadikan kawasan tarikan pelancong agar pelawat boleh mengetahui lebih mendalam mengenai tragedi berkenaan.

"Saya juga berharap pelawat yang datang ke sini turut memberi penghormatan kepada wira kami," katanya. -Bernama

Gambar fail menunjukkan pesawat GAF Nomad Air yang terhempas pada tahun 1976.sehingga mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Muhammad Fuad Stephens serta 10 yang lain.

0 comments

Post a Comment