Jun 27, 2014

KP Esscom Nafi Berlaku Tembak Menembak Di Kunak

LAHAD DATU : Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Haji Mohammad Mentek menafikan berlaku aksi tembak-menembak membabitkan penjenyah rentas sempadan di Kunak awal pagi kelmarin.

Esscom Sabah

Sebaliknya, beliau menjelaskan keadaan di sekitar pekan Kunak adalah selamat dan tidak berlaku sebarang ketegangan seperti yang tersebar luas melalui media sosial.

Bagaimanapun, Mohammad mengesahkan Esscom melancarkan Ops Gasak ke- 22 di Pangkalan Kunak yang merangkumi tiga kampung iaitu meliputi Kampung Bakau, Nelayan dan Kampung Basilan.

Beliau memberitahu, Ops gasak ke-22 yang diketuai Pengarah Operasi Esscom DCP Datuk Abdul Rashid Harun itu melibatkan pelbagai agensi pasukan keselamatan dan pertahanan termasuk Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Sabah.

“Ops Gasak ini dilancarkan ekoran kes penculikan di Kampung Air Sapang, Kunak baru-baru ini, dan saya berharap orang bertenang dan tidak menyebarkan berita palsu terutama di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata seramai 129 orang yang dipercayai PATI ditahan dalam Ops Gasak yang dijalankan selama tujuh jam bermula dari pukul 3 pagi itu.

Kumpulan PATI itu katanya, telah dibawa ke Dewan Masyarakat Kunak sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Namun, selepas pemeriksaan lanjut jelasnya, hanya 121 orang ditahan dan dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS).

Tambahnya, PATI yang ditahan itu terdiri 108 warga Filipina, 11 Indonesia serta masing-masing seorang warga Pakistan dan lain-lain.

“Kesemua mereka itu termasuk 33 wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya lagi.

-Newsabahtimes.com.my

0 comments

Post a Comment