Aug 17, 2015

'Saya Tahu Wang RM2.6 Bilion Dalam Akaun Najib'

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau dan bendahari parti tahu tentang duit RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najb Razak, lapor The Star Online.

Tengku Adnan Tengku Mansor

Portal berita itu memetik beliau sebagai berkata perkara itu sudah "berulang kali diperjelaskan".

"Kami sudah berkali-kali menjelaskan isu ini. Sebagai Setiausaha Agung, saya sedar tentang perkara itu dan begitu juga bendahari parti,"katanya ketika berucap pada Mesyuarat Umno Bahagian Setiawangsa.

Najib baru-baru ini mendakwa beliau sudah dibersihkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan rasuah membabitkan dana sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadinya.

Najib berkata wang tersebut disimpan bagi pihak Umno, di mana beliau adalah presiden, dan bukan untuk kegunaan peribadinya.

SPRM sebelum ini mengumumkan wang itu bukan daripada firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi ia datang daripada seorang penderma dari Timur Tengah.

Tuduhan dana sebanyak RM2.6 bilion yang dipindahkan ke dalam akaun Najib muncul dalam satu laporan oleh The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai lalu, yang memetik dokumen daripada pasukan penyiasat Malaysia.

WSJ berkata sumber dana itu tidak diketahui, tetapi ia disalurkan melalui anak syarikat 1MDB berkaitan dalam beberapa peringkat, perpindahan jumlah wang paling banyak – AS$681,000,000 – disalurkan kepada akaun Najib pada Mac 2013, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei tahun itu.

Beberapa ahli Kabinet Najib sebelum ini berkata, adalah tidak menjadi kesalahan wang berkenaan disalurkan ke dalam akaun peribadi beliau kerana beliau berhak menjadi pemegang amanah untuk Umno.

Tengku Adnan hari ini berkata parti pembangkang dan kumpulan seperti Bersih 2.0 perlu mendedahkan sumber dana mereka.

"Kami mahu tahu di mana mereka mendapatkan pembiayaan mereka. Mereka memberi t-shirt kuning dan kain rentang pada setiap demonstrasi. Orang ramai berhak untuk tahu di mana mereka dapat sumber (dana) itu? Sila isytiharkannya," beliau dipetik sebagai berkata.

Menjelang perhimpunan Bersih yang akan diadakan selama 34 jam di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain, Tengku Adnan berkata penunjuk perasaan pada perhimpunan sebelum ini menerima wang dalam mata wang asing.

"Saya lihat dengan mata saya sendiri semasa perhimpunan Reformasi pada 1998, beberapa peserta memegang duit kertas AS$50 selepas mereka menyertai perhimpunan tersebut.

"Sekarang kita mahu tahu di mana pertubuhan bukan kerajaan dan pembangkang mendapatkan pembiayaan mereka." lapor Themalaysianinsider.

0 comments

Post a Comment