Mar 18, 2016

Beri Kelonggaran Ibu Tunggal Terima Bantuan

KOTA KINABALU: Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Cawangan Sabah berharap kerajaan akan menyediakan satu pelan tindakan alternatif untuk membantu golongan ibu tunggal.

Datuk Rosimah Zakaria

Pengerusinya Datuk Rosimah Zakaria berkata, pelan terbabit antaranya ialah dengan memberikan kelonggaran untuk mendapatkan bantuan tanpa perlu melalui tapisan sistem e-Kasih khususnya dari segi permohonan perumahan.

“Saya menggesa kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna supaya dapat mencari satu pendekatan bagi menangani isu ibu tunggal yang gagal memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Mereka (ibu tunggal) sewajarnya diberi peluang untuk menikmati bantuan yang disediakan kerajaan. Tanpa bantuan ini, kita khuatir lebih banyak masalah kesihatan dan pendidikan anak-anak terbiar, sukar menampung hidup dan akhirnya terjerumus dalam masalah sosial dan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PTIKM Cawangan Sabah, di sini kelmarin.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Rosimah berkata, golongan ibu tunggal bukan sahaja tidak mempunyai suami untuk bergantung tetapi turut menghadapi pelbagai permasalahan.

“Lebih memeritkan apabila sebilangan mereka ini mempunyai anak-anak kecil dan ada yang masih bersekolah menyebabkan mereka sukar keluar bekerja. Lebih malang lagi jika ada yang mempunyai anak kelainan upaya (OKU) serta memiliki ibu yang sudah uzur,” katanya.

Katanya, dengan kos kehidupan yang semakin meningkat ditambah dengan bebanan hidup, golongan ibu tunggal sukar untuk memiliki rumah sendiri jika tidak dibantu oleh pihak berwajib.

Sehubungan itu, pihaknya meminta agensi dan kementerian yang berkaitan supaya menyediakan bantuan kewangan selain mengambil kira aspek perumahan untuk golongan ibu tunggal. -Theborneopost

0 comments

Post a Comment