BRUSSELS – Kesatuan Eropah (EU) dan Kanada menguatkuasakan sekatan terhadap tujuh pegawai kanan tentera dari Myanmar kelmarin termasuk seorang jeneral yang dituduh bertanggungjawab menyebabkan lebih 700,000 etnik Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Beberapa jam selepas pengumuman EU tersebut, tentera Myanmar menyatakan bahawa seorang daripada jeneral terbabit dipecat kelmarin, manakala seorang lagi meninggalkan pasukan tentera pada bulan lalu selepas dilucutkan jawatannya.
Ketujuh-tujuh pegawai berkenaan dikenakan pembekuan aset dan dilarang melakukan perjalanan ke EU.
Blok tersebut juga memperluaskan sekatan senjata dan melarang sebarang latihan atau kerjasama dengan angkatan bersenjata Myanmar.
Sekatan EU itu kali pertama dilaporkan agensi berita Reuters pada April lalu dan menandakan perubahan diplomasi oleh blok Eropah berkenaan.
EU memansuhkan sekatan ke atas Myanmar pada 2012 bagi menyokong peralihan kepada pentadbiran separa demokratik oleh Naypyidaw sejak beberapa tahun lalu.
Tindakan keras terhadap etnik Rohingya di Negeri Rakhine, barat laut Myanmar yang disifatkan sebagai penghapusan etnik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebabkan hubungan Myanmar-EU renggang.
Myanmar menolak hampir semua tuduhan itu dan menegaskan bahawa kempen ketenteraan pada Ogos 2017 itu sah dan dilancarkan selepas pasukan keselamatannya diserang militan Rohingya.
Salah seorang pegawai yang disekat EU, Mejar Jeneral Maung Maung Soe telah dikenakan sekatan serupa oleh Amerika Syarikat pada Disember tahun lalu.
“Dia bertanggungjawab ke atas kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia yang serius terhadap penduduk Rohingya di Rakhine pada masa itu,” kata EU dalam satu kenyataan.
Sejurus selepas pengumuman EU, Kanada turut mengumumkan tindakan sama terhadap tujuh pegawai berkenaan. – REUTERS
0 comments
Post a Comment