Jun 27, 2018

Argentina Mara Ke Pusingan 2

SAINT PETERSBURG - Jaringan Lionel Messi pada babak pertama dan Marcus Rojo empat minit sebelum tamat permainan mengubah nasib Argentina dengan bangkit daripada prestasi hambar untuk mara ke pusingan 16 terbaik Kejohanan Piala Dunia 2018 FIFA hasil kemenangan 2-1 ke atas Nigeria pada aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Saint Petersburg, Rusia awal pagi ini.

Kemenangan pertama ini menyaksikan Argentina merampas slot terakhir itu daripada tangan Nigeria setelah menghuni tangga kedua dengan emat mata, satu mata mengatasi pencabarnya itu yang sebelum ini mengutip tiga mata.

Ironinya, pasukan Nigeria yang membantu mengembalikan semula peluang skuad Albiceleste itu dengan kemenangan ke atas Iceland setelah mereka diambang penyingkiran dengan menghuni tangga terakhir dengan satu mata hasil satu seri dan satu kekalahan sepanjang kempen ini.

Iceland pula turut berpeluang mara sekiranya mengejutkan Croatia, namun gagal melakukannya setelah tewas 1-2 kepada juara kumpulan tersebut.

Namun, kejayaan yang paling bermakna pada aksi terakhir ini pastinya menjadi mimpi indah buat pemain Argentina terutamanya kapten mereka, Messi yang telah dikritik hebat selepas gagal beraksi pada tahap sebenar ketika srri 1-1 dengan Iceland dan tewas 0-3 kepada Croatia.

Pasukan No. 5 dunia itu bangkit dengan menunjukkan semangat juang dan kemahuan yang tinggi untuk menang, sekali gus memberi kelegaan kepada peminat mereka di seluruh dunia.

Aksi terakhir Kumpulan D ini amat menarik untuk disaksikan apabila tiga pasukan, Nigeria, Argentina dan Iceland bersaing sesama sendiri bagi merebut baki satu slot yang masih terbuka.

Argentina yang memerlukan kemenangan dalam pertemuan ini, dilihat berpeluang untuk melakukannya selepas bintang Barcelona, Lionel Messi meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-14.

Situasi itu menyaksikan juara dunia dua kali tersebut merampas kedudukan Nigeria di tangga kedua dengan empat mata, mengatasi pasukan dari Afrika itu dengan satu mata.

Namun, kesilapan Javier Mascherano yang menghadiahkan penalti pada babak kedua mengubah semula keadaan apabila jaringan penyamaan yang dilakukan Victor Moses pada minit ke-51 itu meletakkan semula Argentina dalam kedudukan bahaya.

Tersentak dengan itu, skuad kendalian Jorge Sempaoli mula melancarkan serangan bertali arus untuk mencari gol kemenangan, namun nasib masih gagal menyebelahi mereka.

Sebaliknya Nigeria hampir dihadiahkan sepakan penalti kedua selepas bola terkena tangan Rojo dalam situasi kelam kabut di depan pintu gol, namun mujur pengadil enggan mengesahkannya kerana mendakwa bola tersebut dengan tidak sengaja terkena tangan pemain pertahanan Manchester United itu.

Tatkala Nigeria dilihat semakin hampir mengesahkan tempat, muncul Rojo yang merembat masuk gol dalam kotak penalti pada minit ke-86, sekali gus memastikan kemenangan berharga buat Argentina.

Pada pusingan kedua nanti Argentina bakal berdepan juara Kumpulan C, Perancis manakala Croatia pula akan bertemu naib juara Kumpulan C, Denmark. -kosmo

0 comments

Post a Comment