May 31, 2018

Musa Aman Lari Ke London?

KOTA KINABALU: Kedudukan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Musa Aman yang dilaporkan hilang dan berada di luar negara masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

Terbaru, pengguna laman Facebook kecoh seketika selepas salah seorang pemilik akaun laman sosial itu dikenali sebagai Az Eem telah memuat naik satu video berdurasi 10 saat yang mendakwa terlihat kelibat Musa berbaju mereka dan bertopi.

Video itu dirakam di Stesen Keretapi St Pancras International London.

Video berkenaan turut dikongsikan ramai netizen sehingga menimbulkan pelbagai reaksi sama ada individu 'berbaju merah' itu adalah Musa ataupun sebaliknya.

Terdahulu, kehilangan Musa masih berlarutan sehingga hari ini apabila tiada sebarang maklumat sahih mengenai kedudukan sebenar Pengerusi BN Sabah itu.

Beliau dilaporkan tidak berada di negeri ini sejak berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 14 Mei lalu untuk menemui dan menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Musa kini berhadapan dengan kes yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan ugutan jenayah namun, tidak ada waran yang dikeluarkan berhubung ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Musa dikesan tidak mengikut sistem dan undang-undang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi urusan keluar-masuk di negara ini jika benar beliau kini berada di luar negara.

Jelasnya, Musa juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 5 Akta Imigresen (keluar dari Malaysia tidak melalui pintu diwartakan) serta Seksyen 2 Akta Pasport (gagal mengemukakan pasport untuk keluar Malaysia apabila dikehendaki pegawai Imigresen bertugas) sekiranya terbukti bekas ketua menteri itu melakukan kesalahan-kesalahan berkenaan.

Kehilangan Musa masih berlarutan sehingga hari ini apabila tiada sebarang maklumat sahih mengenai kedudukan sebenar Pengerusi BN Sabah itu. -astroawani

0 comments

Post a Comment