Jun 3, 2018

Tommy Jadi Peguam Negara Tak Jejas Melayu Dan Islam

Perdana Menteri mengesahkan kerajaan tidak akan mengemukakan nama lain untuk mengisi jawatan peguam negara walaupun dilaporkan nama Tomy Thomas tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kata Tun Dr Mahathir Mohamad kerajaan percaya cadangan yang dikemukakan itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang negara.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak (melantik peguam negara) berdasarkan nasihat perdana menteri.

"Jadi kita berpegang kepada prinsip itu," katanya pada sidang media di Alor Setar, Kedah.

Beliau juga memberitahu usaha sedang dijalankan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Justeru, kata Dr Mahathir "tidak ada manfaat" bagi beliau memberi penjelasan lanjut mengenainya.

Menggantikan peguam negara antara proses awal yang diambil kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas berjaya membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Penyandang sebelum ini - Tan Sri Mohamed Apandi Ali - menjadi satu daripada individu yang disasarkan dalam kempen HARAPAN menjelang pilihan raya umum lalu.

Apandi dianggap tidak sesuai meneruskan khidmatnya sebagai peguam negara ekoran pembabitan beliau secara langsung dalam siasatan skandal 1MDB.

Media melaporkan kerajaan mengemukakan nama Tommy bagi mengisi kekosongan jawatan peguam negara namun ia belum mendapat perkenan Agong.

Ditanya mengenai tanggapan sesetengah pihak bahawa Tommy tidak sesuai menjadi peguam negara ekoran hubungannya dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Dr Mahathir berkata peguam itu juga pernah menjalankan tugas bagi ramai orang.

"Peguam-peguam (biasanya) mengambil kes yang memberi pendapatan kepada mereka," katanya.

AMANAH: Tommy jadi peguam negara tak jejas Melayu, Islam

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) melalui kenyataan ketuanya, Faiz Fadzil menyatakan sokongan terhadap cadangan melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara.

Faiz menafikan pendapat bahawa kedudukan Islam dan Melayu terjejas akan terjejas dengan pelantikan peguam negara dari kalangan bukan Muslim.

"Kedudukan istimewa Islam dan Melayu tidak akan terjejas kerana ia telah dijamin dipelihara oleh HARAPAN.

"Peguam negara juga tiada kuasa mengubah keistimewaan Islam dan Melayu kerana kedua-dua keistimewaan ini adalah prerogatif Legislatif," katanya.

Majlis Mesyuarat Raja-Raja dikatakan keberatan menerima cadangan kerajaan dan sebaliknya menggesa agar jawatan peguam negara disandang seseorang beragama Islam.

Namun, kerajaan setakat ini tidak menyerahkan nama lain selain Tommy meski nama itu dikemukakan sejak minggu lalu.

Berhubung pertikaian pelantikan Tommy meski beliau bukan anggota parlimen sepertimana yang dinyatakan dalam manifesto HARAPAN, Faiz mencadangkan agar Tommy dilantik sebagai senator.

"Menurut Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan, Tommy boleh dilantik sebagai ahli parlimen di Dewan Negara dan seterusnya dilantik sebagai peguam negara untuk memenuhi hasrat HARAPAN meletakkan peguam negara di bawah Parlimen," katanya.

Dalam kenyataan sama, Faiz menjelaskan bahawa Tommy mempunyai kelayakan dari segi merit dan perlembagaan, selain menyorot pengalaman peguam kanan itu mengendalikan kes-kes berprofil tinggi yang rumit.

Antara kes yang pernah dikendalikan Tommy, jelas Faiz, adalah kes berkaitan isu dakwat kekal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kes saman Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berkaitan hak royalti Kelantan dan kes pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

"Pemuda AMANAH percaya bahawa pelantikan Tommy mengendalikan kes-kes sebegini bukan atas faktor sokongan kepada pembangkang tetapi berdasarkan kelayakan beliau mengkaji isu undang-undang selain kebijaksanaan berhujah," katanya.

Beliau menambah lagi, kepakaran Tommy akan membantu negara dalam mengendalikan kes seperti 1MDB dan penelitian semula perjanjian-perjanjian yang dimeterai kerajaan sebelum ini yang merugikan negara. -malaysiakini

0 comments

Post a Comment