Jun 4, 2018

Tun Mahathir Nafi PH Tidak Bela Islan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menepis tuduhan Pakatan Harapan tidak membela dan melindungi ajaran Islam.

Beliau berkata gabungan itulah yang berpegang kepada Islam yang mengajar tadbir urus berlandaskan undang-undang, menolak diskriminasi dan menghukum penyelewengan.

“Kalau kita berpegang kepada ajaran Islam sebenar, ia akan menentukan negara kita ditadbir mengikut landasan undang-undang dan prihatin serta peduli kepada rakyat,” katanya di majlis berbuka puasa PPBM di Putrajaya.

Dr Mahathir berkata Islam menuntut penganut tidak mendiskriminasikan agama lain dan menyuruh berlaku adil dalam setiap perkara.

“Islam suruh kita mentadbir dengan keadilan dan ini disebut berkali-kali dalam Al-Quran. Al-Quran menyatakan apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil, bukan semata-mata orang Islam sahaja tetapi juga bukan Islam,” katanya.

Dr Mahathir berkata sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan, dia mendapati ramai penjawat awam dihasut untuk tidak berkhidmat kepada negara tetapi kepada parti politik.

“Kita tidak suka ambil tindakan, tetapi kita tidak boleh benarkan mereka jalankan tugas.

"Kita perlu cari pengganti kepada mereka.

"Mungkin pada mereka, mereka dianiaya tetapi ini dilakukan dengan dasar dan undang-undang dalam negara,” katanya.

Beliau berkata ramai pentadbir sanggup melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan kerajaan tidak boleh bertolak-ansur.

“Kita tidak boleh beri harapan sepenuhnya kepada orang yang menyeleweng, iaitu anggota pentadbir awam haruslah patuh kepada kerajaan yang mendapat pilihan rakyat,” katanya. -fmt

0 comments

Post a Comment