Jun 28, 2018

Tun Mahathir Cabar Najib Tunjuk Bukti Wang RM10 Juta

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan dakwaan ‘orang Mahathir’ menerima RM10 juta daripada beliau.

“Tunjuk bukti, minta dia tunjuk bukti,” katanya selepas berucap di program Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia hari ini.

Semalam, dalam wawancara dengan portal laman web, Najib mendakwa salah seorang ‘orang Mahathir’ pernah mengambil wang tunai sejumlah RM10 juta daripadanya untuk kegunaan PRU13.

Beliau menggambarkan bahawa ‘orang’ itu sebagai seorang ‘pembantu’ yang sangat dipercayai Mahathir.

Najib mendakwa, duit berkenaan diambil di kediamannya di Jalan Langgak Duta.

Walaupun Najib mendedahkan nama individu berkenaan yang merupakan bekas perenang negara namun menurut Malaysiakini tidak menamakannya sehingga beliau dapat dihubungi.

“Niatnya cukup jelas. Mereka tahu apabila anda bertanding pilihan raya, anda perlu ada tunai. Pembangkang juga tahu mengenai perkara itu. Mereka juga ada tunai.

“Saya tahu perkara ini bukan sesuatu yang diketahui umum oleh orang awam tetapi ia bukan perkara yang pelik.

“Ia telah pun berlaku pada masa lalu dan jika kita mengubah undang-undang dan peraturan mengenai pembiayaan dana pilihan raya, ia tetap akan berlaku,” katanya. -malaysiakini

0 comments

Post a Comment