LABUAN: 27 Ketua Kampung Wilayah Persekutuan Labuan akan akur sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan termasuk melepaskan jawatan sekiranya diminta berbuat demikian.
Pengerusi Penyelaras Ketua Ketua Kampung Wilayah Persekutuan Labuan, Haji Mazlan Datuk Mohd Din berkata, kesemua 27 kampung yang sebelum ini dilantik di bawah kepimpinan kerajaan terdahulu bersedia dan akur apa juga keputusan yang akan di buat oleh kerajaan yang ada pada hari ini.
“Kami akan akur dengan apa juga keputusan terrmasuk untuk melepaskan jawatan sekiranya diminta berbuat demikian” katanya kepada New Sabah Times di sini pada Program Santai bersama Ketua Kampung di Batu Manikar, pada Ahad.
Mazlan berkata, sekalipun perkhidmatan Ketua Kampung yang sedia ada tidak lagi diperlukan perkhidmatan, namun mereka akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan yang memerintah di bawah Pakatan Harapan (PH).
Pada masa yang sama mereka juga akan memberikan kerjasama dan sokongan kepada siapa juga Ketua Kampung yang bakal dipilih dan dilantik oleh kerajaan.
“ Kami akan terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan dan sokongan kepada Ketua Kampung baharu yang bakal dilantik dan yakin mereka akan dapat memberikan perkhidmtan yang lebih baik daripada kami” katanya.
Sementara itu, Timbalan Jawatan Kuasa Bertindak Ketua-Ketua Kampung, Haji Ismail berkata, sudah menjadi lumrah kepada Ketua Kampung untuk menerima kenyataan sekiranya tidak dilantik semula, ini kerana mereka sudah terbiasa setiap kali tempoh mereka tamat akan ada kalangan mereka yang tidak dilantik semula.
“ Kami sentiasa akur kepada kehendak kerajaan, malah sudah menjangkakan akan ada perubahan sekiranya berlaku peralihan kuasa,” katanya.
Untuk rekod sebahagian besar Ketua Kampung yang ada hari ini akan tamat perkhidmatan mereka pada 31 Disember 2019 selepas dilantik untuk tempoh dua tahun bermula pada Januari 2017. -newsabahtimes
0 comments
Post a Comment