SEMUA agensi berkaitan agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) distruktur semula dalam rombakan menyeluruh berkuat kuasa semalam, dengan sebahagiannya diletakkan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala sebahagian lagi dipindahkan ke beberapa kementerian lain.
Daripada 12 agensi sebelum ini, menteri agama di JPM akan bertanggungjawab ke atas tujuh jabatan dan agensi yang diletakkan di bawah Jakim sementara Tabung Haji juga kekal di bawah JPM.
Penstrukturan semula itu adalah sebahagian daripada cadangan rasionalisasi JPM yang akan diumumkan oleh Putrajaya, menjelang pelantikan Jemaah Menteri penuh barisan kabinet Dr Mahathir Mohamad pada Selasa.
Cadangan rasionalisasi itu dipersetujui oleh Ketua Setiausaha Negara melalui sepucuk surat balasannya kepada JPM minggu lalu, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.
Menurut surat itu, empat jabatan dan agensi agama Wilayah Persekutuan (WP) dipindahkan ke Kementerian Hal Ehwal Wilayah Persekutuan iaitu pejabat mufti, majlis agama Islam (MAIWP), jabatan pendakwaan syariah dan mahkamah syariah.
Stesen televisyen TV Al-Hijrah dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), dua agensi yang sebelum ini di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal agama Islam, dipindahkan dari JPM ke bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Berdasarkan surat itu juga, dua jabatan dan tiga yayasan turut dirangkumkan di bawah kluster kemajuan Islam di bawah Jakim.
Dua jabatan itu ialah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) manakala tiga yayasan berkaitan Islam terlibat ialah Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Yayasan Wakaf Malaysia.
Lima agensi itu sebelum ini adalah antara 12 entiti di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal agama Islam, bersama Jakim dan Tabung Haji.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa disebut-sebut bakal dilantik sebagai menteri berkenaan, berdasarkan senarai penuh anggota Jemaah Menteri Dr Mahathir Mohamad yang tular di media sosial minggu lalu.
Senarai itu tular beberapa jam selepas Istana Negara mengesahkan istiadat pelantikan dan angkat sumpah Jemaah Menteri akan diadakan Selasa ini.
Sejak selepas Barisan Nasional yang diterajui Umno kalah pilihan raya umum 9 Mei lalu dan menyerahkan kuasa di Putrajaya kepada Pakatan Harapan, tersebar dakwaan kononnya kerajaan baru ini mahu membubarkan Jakim.
Ini susulan jawapan Dr Mahathir sebelum PRU14, kerajaan Pakatan Harapan akan menentukan kedudukan Jakim kalau menang.
“Itu terpulang kepada kita, kalau kita jadi kerajaan. Nothing is permanent (tiada yang kekal),” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu dalam satu sidang media pada Februari lepas.
Beliau ketika itu menjawab pertanyaan wartawan mengenai desakan pelbagai pihak yang mahu Jakim dimansuhkan.
Pengkritiknya juga mendesak Jakim dibubarkan kerana peranannya bertindih dengan pihak berkuasa agama Islam negeri.
Agama Islam adalah urusan negeri namun Jakim, yang diwujudkan pada 1997 di bawah JPM, berperanan menyelaraskan pentadbiran Islam di Malaysia.
Mereka juga menggesa Jakim dibubarkan kerana mendapat peruntukan tahunan yang besar dalam belanjawan Putrajaya, mencecah sehingga RM1 bilion tetapi tidak jelas audit ke atas perbelanjaannya.
Pada 30 Mei lepas, Dr Mahathir berkata, peranan Jakim akan dilihat semula sama ada dikekalkan seperti sedia ada atau dikembalikan kepada tujuan asal penubuhannya dahulu iaitu pembangunan agama Islam dan halal.
Kajian semula itu bertujuan memastikan imej Islam tidak dipandang serong kerana tindakan pihak berkuasa agama, kata Perdana Menteri.
“Kita akan menentukan supaya di negara ini, Islam tidak digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa, itu bukannya agama Islam,” kata Dr Mahathir. -tmi
0 comments
Post a Comment