Jul 4, 2018

Jepun Kalah Di Padang, Menang Di Hati

PIALA DUNIA 2018 | Untuk kesekian kalinya Jepun menggilap imej mereka sebagai bangsa yang wajar dihormati dan disegani walau di mana berada, termasuk di dalam stadium.

Malam tadi pasukan tunggal dari Asia yang berjaya melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2018 nyaris membuat kejutan ke atas pasukan yang dibarisi ramai bintang bola sepak antarabangsa.

Tuah bagaimanapun tidak menyebelahi pasukan Samurai Biru itu apabila akhirnya terpaksa tunduk kepada Belgium walaupun mendahului 2-0 sehingga ke minit 68.

Bagaimanapun gawang Jepun dirobek pemain asuhan Roberto Martinez itu tiga kali berturut-turut, masing-masing pada minit ke-69, 74 dan beberapa detik sebelum perlawanan tamat.

Kekalahan itu memang memedihkan, namun penyokong Jepun tetap tidak lupa kepada rutin mereka setiap kali pasukan itu muncul bertarung pada temasya kali ini.

Mereka meluangkan masa memungut sampah di tempat duduk penonton.

Aksi itu mula menjadi perhatian dan tular sejak Jepun turun kali pertama di Russia pada 19 Jun lalu. Ketika itu pasukan tersebut menjinakkan Colombia dengan jaringan 2-1.

Jepun turun sekali lagi menentang Senegal pada 24 Jun dan mereka berjaya mencuri satu mata apabila sekadar seri 2-2 dengan pasukan dari Arfika itu.

Berjurus semasa bertarung
Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Jepun kalah 0-1 kepada Poland namun tetap layak ke peringkat kalah mati walaupun mempunyai persamaan dari segi mata, jaringan dan jaringan balas dengan Senegal.

Kelebihan yang diambil kira oleh Fifa untuk Jepun mara ke peringkat kalah mati ialah: rekod kesalahan (jumlah kad kuning atau merah) yang rendah berbanding Senegal.

Dengan perkataan lain, Jepun lebih 'berbudi bahasa' di atas padang ketika melayan pasukan lawan.

Bagaimanapun untuk rekod, Senegal mengemukakan permohonan kepada Fifa agar peraturan itu dikaji semula kerana mendakwa pemain Jepun banyak melengah-lengahkan masa ketika bertemu Poland.

Selepas perlawanan, penyokong Jepun sekali lagi menjadi sukarelawan awam dengan membersihkan kawasan Stadium Rostov.

Gambar dan video kelakuan mereka itu segera menjadi tular dan mendapat pujian ramai.

Bagaimanapun pada wajah mereka, tidaklah kelihatan rasa ceria. Itu dapat difahami kerana pasukan Jepun terpaksa pulang kerana gagal mengatasi Belgium walaupun mendahului dengan gol yang agak selesa.

Pada separuh masa pertama perlawanan agak berat sebelah dengan pemain Jepun lebih banyak berkampung dalam kawasan sendiri untuk menahan asakan Belgium.

Dibarisi pemain seperti Eden Hazard, Romelu Lukaku dan Jan Vertonghen mereka melakukan serangan bertali arus ke arah gawang yang dikawal Eiji Kawashima namun berjaya dipertahankan.

Tiga minit selepas separuh masa kedua bermula Genki Haraguchi melakukan rembatan kaki kanan ke arah kiri gol Belgium dan gagal ditepis oleh Thibaut Courtois.

Pada minit ke-52 tiba giliran Takashi Inui mencatat nama sebagai salah seorang penjaring gol dalam kejohanan kali ini.

Dia melakukan rembatan kencang dari luar kota penalti dan menewaskan Courtois sekali lagi.

Namun Vertonghen membawa Belgium merapati Jepun pada minit ke-69 melalui tandukan ke sudut kiri gol Jepun sebelum Marouane Fellaini - juga menggunakan kepalanya - menyamakan kedudukan kira-kira lima minit kemudian.

Namun bekas pemain kebangsaan Maghribi, Nacer Chadli, memuktamadkan kemenangan buat Belgium apabila menolak masuk bola hasil gerakan serangan balas pantas dari Courtois.

Gol itu dijaringkan pada detik-detik terakhir masa tambahan. -astroawani

0 comments

Post a Comment