CAMBRIDGE, Britain – Misteri kehilangan patung burung helang berwarna keemasan yang telah dicuri 25 tahun lalu dari tanah perkuburan tunggal askar Amerika Syarikat (AS) di Britain telah berakhir apabila ia dipulangkan dalam keadaan yang baik dan terjaga.
Menurut pekerja di tanah perkuburan Madingley yang terletak berhampiran Cambridge, patung berwarna emas setinggi 91.4 sentimeter yang sebelum ini diletakkan di atas tiang bendera setinggi 21.3 meter itu telah dikembalikan pada pukul 1.30 pagi pada hari Khamis lalu selepas ia dicuri pada tahun 1992.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian menunjukkan seorang lelaki memarkirkan keretanya di luar pintu pagar utama di jalan A14 dan membawa keluar patung tersebut.
Lelaki yang tidak dikenali itu meletakkan patung burung helang tersebut berhampiran pintu pagar dan mengambil gambar berulang kali sebelum berlalu pergi dari tempat itu.
Pegawai tadbir Madingley, Tracey Haylock berkata, pihaknya tidak akan memanjangkan kes tersebut dan berharap dapat mempamerkan semula patung burung helang itu di sesuatu tempat di tanah perkuburan itu.
“Di mana ia disimpan sebelum ini, ia telah dijaga dengan baik dan masih berkilat. Ia mungkin hanyalah gurauan dan kami tertanya-tanya adakah ia berkait dengan tarikh 4 Julai yang merupakan Hari Kemerdekaan (AS),” katanya. –Agensi
0 comments
Post a Comment