Jun 22, 2019

9 Mangsa Culik Diselamatkan Pasukan Keselamatan Filipina

SANDAKAN: Sembilan daripada 10 kru bot nelayan yang diculik dari perairan Lahad Datu, Isnin lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di kepulauan Jolo, selatan Filipina, malam tadi.

Semua mangsa terbabit dikatakan sedang berjalan di sebuah lokasi di pulau itu sebelum terserempak dengan pasukan keselamatan Filipina, kira-kira jam 10 malam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan mengenai perkara itu.

“Memang betul mereka sudah diselamatkan. Mereka dipercayai dibebaskan kumpulan penculik kerana tiada wang sebelum terserempak dengan pasukan keselamatan Filipina ketika sedang berjalan.

“Kita akan berhubung dengan Kerajaan Filipina untuk berbincang mengenai tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam kejadian jam 2 pagi Isnin lalu, kumpulan bersenjata menyerang dua bot dinaiki 16 kru bot nelayan dan menculik 10 daripada mereka ketika berada di perairan Tambisan, Lahad Datu. -Bharian

0 comments

Post a Comment