Sep 3, 2012

Bahan Porno Perlu Disekat Sekarang!

PENULIS berpengalaman, Abu Hassan Morad berkata trend yang sudah menjadi lazim di barat itu dikesan bertapak kembali di negara ini akibat bahana globalisasi.

Menurutnya, selepas berjaya mengekang lambakan novel lucah berpuluh tahun lalu, pihak berkuasa perlu bertindak tegas supaya tidak dibiarkan berleluasa pada masa ini seperti di barat.

“Melihat sudut umum media di luar negara khususnya barat, porno telah menjadi trend kebiasaan. Malah bahan bacaan yang tidak dimasukkan unsur sebegitu akan dipandang janggal.

“Keadaan sama di Indonesia yang perlu kita pandang. Di negara itu novel lucah juga adalah trend dan kini dibawa masuk ke dalam negara kita berikutan ramai warga Indonesia di sini. Tetapi, adakah kita mahu mengikut trend mereka?

“Dibimbangi orang ramai akan terikut-ikut dengan trend itu. Jika tidak dikawal, mungkin suatu hari nanti boleh melahirkan golongan yang akan bertindak memperjuangkan hal (berkaitan kelucahan dalam bahan bacaan) ini.

“Sangat dikhuatiri, jika munculnya puak yang menuntut supaya ia dianggap kebiasaan dan menjadikannya keperluan dalam bahan bacaan. Lebih haru apabila ia kelak, dikaitkan pula dengan hak demokrasi,” ujar Abu Hassan yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Tegasnya, jika senario ini menjadi trend normal, maka kita perlu melihatnya secara menyeluruh kerana dibimbangi mungkin ia juga sebahagian propaganda oleh ejen atau musuh yang berhasrat mahu merosakkan masyarakat kita.

Justeru, perlu dikawal dan caranya sudah tentulah melalui pelaksanaan secara tegas ke atas undang-undang sedia ada yakni melalui akta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tambah sasterawan dan bekas guru itu, pendidikan moral berkaitan perkara bertentangan agama perlu ditanam dalam jiwa masyarakat sejak kanak-kanak. Ini kerana kesan jalan cerita berunsur seks dan lucah di dalam tulisan juga boleh mendorong imaginasi minda ke arah zina sebagaimana paparan filem atau drama.

Ujarnya, tidak ada perbezaan pengaruhnya antara bahan ditonton dan tulisan yang dibaca dalam novel. Dari konteks penulis pula, mereka yang berkarya mengikut trend sebegini untuk memenuhi permintaan pasaran adalah manusia yang tidak memikirkan anak bangsa kerana tidak ada istilah ‘kelucahan berseni’.

Justeru, beliau menegaskan, supaya pihak berkuasa memantau senario ini khususnya kewujudan syarikat penerbitan atau ‘penerbit lari malam’ yang tidak tetap keterampilannya.

“Setakat ini, saya percaya keadaan di Malaysia masih terkawal. Walau bagaimanapun, langkah pengawalan perlu sebelum ia jadi trend.

“Kita perlu melihat secara jauh dan menyeluruh di sebalik semua ini. Apabila kelak senario ini bertukar kebiasaan dan tidak dipantau dengan baik, dibimbangi adegan ranjang, seks dan lucah menjadi budaya yang tidak lagi terkawal,” akhiri beliau. - SinarHarian

0 comments

Post a Comment