Sep 5, 2012

Kalau Tidak Cukup Dengan Yang Banyak, Lagilah Kalau Sedikit

Manusia sering bertanya, mana lagi, apa lagi, siapa lagi. Segala yang ada tak pernah nampak cukup, tak pernah rasa cukup. Tapi sebenarnya ramai yang tak sedar bahawa cukup atau tidak suatu kehidupan itu bukan dari pandangan mata kasar atau material.

 Kalau dah namanya manusia, masakan pernah cukup dengan satu dua nikmat dunia. Bahkan andai diberi gunung dan bukit-bukau, emas selautan dalam, masih akan ada lagi permintaan lain selain daripada itu. Segalanya adalah realiti.

Pilihan. Setiap saat kita diberikan pelbagai pilihan. Ada yang nampak di mata, ada yang tersurat, ada yang tersirat, ada yang manis, pahit, masin dan kelat. Segalanya adalah satu pilihan dan setiap pilihan itu ada jalan ke arah kebaikannya. Tiada satu pun pilihan dalam dunia ini adalah pilihan yang salah melainkan jalan perlaksanaannya sahaja yang salah. Namun segalanya tetap berbalik kepada pilihan dan pilihan. Setiap apa yang berlaku itu adalah implikasi daripada perjalanan perlaksanaan ke atas pilihan yang dah kita buat. Tapi tak semuanya menjaminkan kesenangan dan keselesaan.

Kemustahilan yang wujud dalam setiap kehidupan adalah merupakan suatu cabaran yang maha besar bagi penerimanya. Sebenarnya tiada satu pun perkara yang mustahil dalam dunia ini melainkan ianya tidak diizinkan oleh-Nya. Biarlah ada yang kata tak mungkin, ada yang kata mustahil, ada yang kata itu satu keajaiban andai berlaku, tapi selagi keazaman itu ada, selagi kekuatan minda mengatasi segala, kemustahilan itu hanyalah sekadar alasan picisan bagi yang mengalah.

Orang akan hormat kita bila kita jujur dalam kehidupan. Biarpun satu kejujuran itu mungkin menyumbang kepada sakit hati tapi yang menjadi pokok pangkal ialah jujur. Bila satu perkara yang diselindungkan dan kebenaran barulah diungkai, itu bukan dinamakan kejujuran tapi itu keterpaksaan. Keterpaksaan dan kejujuran ada satu garis kehormatan yang berbeza di mana kejujuran itu seharusnya berlaku tanpa ada paksaan dan keterpaksaan itu jelas berlaku hanya bila adanya desakan. Mudahnya, sekiranya tiada satu desakan maka perkara itu akan tetap menjadi satu lindungan dari kebenaran, itulah hakikatnya.

Ketidak puasan, pilihan, kemustahilan dan kejujuran, adalah antara perkara asas yang senantiasa menjadi suatu yang rumit dalam kehidupan andai tidak diurus dengan sempurna. Manusia sememangnya tidak akan lari dari tergelincir dari landasan hidup ini, cuma yang membezakan mereka ialah seberapa pantas mereka berada dalam landasan yang sebenar, dan seberapa pantas tidak balas diambil untuk terus berada dalam landasan itu. Segalanya berasas dari kejujuran hati, dengan kejujuran semuanya menjadi lebih mudah dan tanpa kejujuran segalanya akan mula berkecamuk. Semudah itu. - Nmhafiz.blogspot.com

- Beritasabahkini.blogspot.com

0 comments

Post a Comment