Sep 5, 2012

Perompak Bersenjata Tidak Menyesali Perbuatannya

Seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun yang memberitahu mahkamah dia tidak menyesali perbuatan jenayahnya, dipenjara 12 tahun dan dikenakan enam kali sebatan rotan kerana merompak bersenjata dan menyebabkan kecederaan.


Herry Kudan @ Jas Barak yang mengaku bersalah di hadapan Hakim Caroline Bee Majanil kepada tuduhan terhadapnya, memberitahu mahkamah ketika mitigasi, dia tidak mempunyai sebarang penyesalan.

Untuk tuduhan pertama, Herry, dipenjara tujuh tahun dan tiga kali sebatan rotan kerana merompak seorang wanita, dan melarikan gelang emas, telefon bimbit, kupon kredit dan RM1,000.

Dia merompak wanita itu dengan bersenjatakan pisau pemnotong daging pada 1.05 petang 8 Mac di kedai runcit Davina di Kg Dambai, Menggatal, dekat sini.

Kesalahan itu di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan membawa tuduhan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Untuk tuduhan kedua, dia diperintah dipenjara 5 tahun lagi serta dikenakan tiga kali sebatan rotan kerana mencederakan Yong Ni Yuen, 52, dengan menetaknya menggunakan parang ketika cuba merompaknya pada 4.30 petang, 19 Disember, 2011 di sebuah premis di Jalan Pantai.

Mahkamah mendengar akibat kejadian, Tong menerima 30 jahitan pada mukanya.

Herry melakukan kesalahan itu bersama tiga rakan subahat lain yang meminta dibicarakan kepada tuduhan dan kes tersebut akan didengar pada 13 September.

Majanil memerintahkan Herry menjalani hukuman penjara berasingan

Ketika mitigasi, dia memohon hukuman itu berjalan serentak. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Afzan Abd Kahar menggesa mahkamah agar mengenakan hukuman berat.

"Mahkamah perlu mengambilkira keseriusan kesalahan. Kebelakangan ini, seperti yang dilaporkan dalam media terdapat banyak kes rompakan berkumpulan dan rompakan yang mana pelaku menyebabkan kematian dan kecederaan parah terhadap mangsa. Itu menunjukkan bahawa ini adalah kesalahan berat yang perlu ditangani dengan serius oleh sistem kehakiman", kata ALan. - HarianEkspres

0 comments

Post a Comment