Jul 27, 2016

Dua Penyerang Sembelih Paderi Perancis

PARIS – Dua penyerang menyembelih seorang paderi dengan pisau dan mencederakan seorang tebusan lain di sebuah gereja di utara Perancis semalam sebelum polis menembak mati mereka.

AFP -Anggota polis dan bomba berada di lokasi pembunuhan.

Motif dan identiti penyerang belum diketahui tetapi kumpulan militan Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Sumber polis berkata, siasatan mendapati, leher paderi berusia 84 tahun itu telah disembelih. Institusi gereja Vatican mengutuk keganasan tersebut sebagai pembunuhan tidak berperikemanusiaan.

“Kedua-dua penyerang ini kemudian keluar dari gereja dan ketika itu, mereka dibunuh pasukan elit polis,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Pierre-Henry Brandet kepada stesen radio tempatan, France Info.

Perdana Menteri, Manuel Valls melabel serangan itu sebagai ‘tidak bertamadun’ dan berkata, ia memberi tamparan kepada seluruh penganut ajaran Katholik di Perancis.

Kejadian itu merupakan serangan berdarah terbaru di Eropah.

Serangan di Normandy itu berlaku 12 hari selepas seorang lelaki Tunisia, Mohamed Lahouaiej Bouhlel, 31, memandu sebuah trak dan merempuh orang awam yang sedang menonton pertunjukan bunga api di kawasan French Riviera, Nice, mengakibatkan 84 orang terbunuh.

IS turut mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan kejam itu. –Reuters

0 comments

Post a Comment