Jun 18, 2018

Anggota BERSATU Terlibat Skandal Bazar Buat Laporan Polis

Ketua Pemuda BERSATU Bukit Bintang Mohd Noorhisyam Abd Karim menggesa pihak berkuasa menyiasat pihak yang menuduhnya menyalahgunakan hubungan politik untuk mendapatkan hak tapak perniagaan bazar Ramadhan dan menyewakannya dengan kadar melampau.

Noorhisyam membuat laporan polis di ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi kira-kira 1.30 tengah hari ini.

"Saya membuat laporan polis untuk menolak dan menafikan tuduhan ini yang ditularkan, dan juga membolehkan pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan yang dibuat pihak tertentu, termasuk media.

"Ini bagi membersihkan nama saya, BERSATU dan Anggota Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun," katanya dalam laporan.

Noorhisyam berkata beliau akan memberi kerjasama kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam penyiasatannya.

Setiausaha BERSATU Bukit Bintang Abdul Razak Zabir dan Ketua Penerangannya Azrul Feisal Abdullah juga membuat laporan polis terhadap tuduhan penglibatan mereka dalam isu itu.

Sebelum ini Pemuda BERSATU meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

Ketua Pemuda Syed Saddiq Abdul Rahman juga membuat laporan terhadap SPRM hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, Syed Saddiq berkata Noorhisyam ada hak untuk membuat laporan bagi mempertahankan dirinya, tetapi polis dan SPRM akan menentukan sama ada berlaku salah laku atau tidak.

"Kami mahu SPRM dan polis menyiasat kes ini secara terperinci secepat mungkin.

"Terima kasih kepada media kerana mendedahkan perkara ini," katanya.

Jika memang berlaku salah laku, katanya lagi, tindakan perlu diambil bukan sahaja di pihak parti tetapi juga undang-undang.

Ketua Bahagian BERSATU Bukit Bintang Zailani Isausuludin juga membuat laporan SPRM terhadap Noorhisyam petang ini.

Fong yang menulis surat sokongan terhadap Noorhisyam bagi mendapatkan kelulusan DBKL juga memberitahu beliau akan membuat laporan polis pada 20 Jun ini kerana berada di luar negara buat masa ini.

Noorhisyam dituduh menyewakan 80 tapak bazar Ramadan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, setinggi RM5,000 setapak - mengaut keuntungan sehingga RM400,000.

DBKL hanya mengenakan caj RM6,238 kepadanya untuk kesemua 80 tapak itu.

Noorhisyam telah menafikan dakwaan itu dan sebaliknya berkata beliau mengutip sewa dengan kadar yang sama dikenakan oleh DBKL. -malaysiakini

0 comments

Post a Comment