Setev Shaariibuu - bapa kepada model Mongolia yang dibunuh, Altantuya - akan bertemu peguam negara Tommy Thomas pada pukul tiga petang esok di Putrajaya.
Peguam yang mewakili Setev, Ramkarpal Singh berkata tujuan pertemuan adalah untuk meminta Thomas membuka semula kes pembunuhan Altantuya yang berlaku pada Oktober 2006.
"Kami akan berjumpa dengan wartawan di pejabat saya di Kuala Lumpur pada pukul lima petang, selepas pertemuan itu," katanya.
Kedatangan Setev berikutan kemungkinan Sirul Azhar Umar yang kini ditahan pihak imigresen Australia akan dihantar pulang ke Malaysia, selepas hukuman matinya dikurangkan kepada penjara seumur hidup.
Sirul dilaporkan sanggup pulang jika diberi pengampunan di Malaysia.
Namun dia kemudian dilaporkan menolak tawaran pengurangan hukuman kepada penjara seumur hidup dan lebih memilih untuk tinggal dalam tahanan di Australia.
Dia malah menafikan membunuh Altantuya dan mendakwa hanya menyerahkan wanita itu kepada rakan sekerjanya Azilah Hadri pada malam 19 Oktober 2006.
Pada 2015, mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepada Sirul dan Azilah selepas disabit kesalahan membunuh Altantuya.
Ketika itu, mereka merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dan bertugas sebagai pengawal Datuk Seri Najib Razak.
Azilah kini menunggu hukuman mati di penjara, manakala Sirul lari ke Australia tiga tahun lalu.
Kerajaan BN sebelum ini tidak mengekstradisinya atas sebab undang-undang Australia yang tidak mengiktiraf hukuman mati.
Gesaan untuk membuka semula kes itu mula muncul selepas Pakatan Harapan menewaskan BN pada PRU ke-14. -malaysiakini
0 comments
Post a Comment