Jun 18, 2018

Keluarga Bayi Kepala Besar Rayu Bantuan

KUCHING – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itulah ungkapan tepat menggambarkan penderitaan yang ditanggung oleh seorang bayi berusia tujuh bulan, Ainul Mardhiah Sumayyah, yang menghidap penyakit hydrocephalus atau ‘kepala besar’ sejak lahir.

Bapanya, Subahrul Aran, 41, berkata, akibat penyakit itu anaknya hanya terlantar dan tidak mampu bergerak seperti bayi seusianya.

Katanya, masalah yang dihadapi anak sulungnya mula dikesan semasa masih dalam kandungan isterinya, Syafira Suhaili, 30, sebaik memasuki usia enam bulan.

“Doktor yang melakukan pemeriksaan telah memaklumkan bayi dalam kandungan ada menghadapi masalah
hydrocephalus.

“Disebabkan rasa sayang, saya dan isteri tetap dengan keputusan untuk melihatkan anak sulung kami lahir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tupong Ulu di sini baru-baru ini.

Subahrul yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menambah, semasa Ainul Mardhiah lahir, mereka tetap pasrah dan bersyukur kerana anaknya itu merupakan anugerah istimewa.

Katanya, lebih memeritkan, selain menghidap penyakit kepala besar, Ainul Mardhiah turut disahkan menghadapi masalah komplikasi jantung.

Sementara itu, Syafira dalam nada sebak memberitahu, selepas menjalani pembedahan membuang cecair pada kepala, anaknya kini bergantung hidup kepada tiub untuk bernafas dan minum susu.

“Tiub yang dimasukkan dalam mulutnya adalah untuk membantunya bernafas dan minum susu bagi tumbesarannya.

“Dia perlu minum susu berkhasiat untuk tumbesarannya, namun akibat kesempitan hidup kami tidak mampu untuk membelinya,” katanya suri rumah itu.

Tambah Syafira, suaminya membelanjakan sehingga RM300 setiap bulan untuk membeli susu khas, makanan bijirin selain lampin pakai buang dan keperluan lain untuk Ainul Mardhiah.

Orang ramai yang prihatin dan ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi Subahrul di talian 019-8986 977. -kosmo

0 comments

Post a Comment