Jun 13, 2018

Penilaian Projek Dari Jepun Lebih Jujur Dan Telus

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba menegaskan nilai-nilai projek dari negara Jepun adalah lebih telus dan jujur berbanding negara lain.

Mempunyai pengalaman selama 35 tahun dalam menilai projek-projek yang pernah menembusi pasaran Malaysia, Jalilah berkata sikap keterbukaan pihak Jepun dalam berkongsi maklumat dan berbincang tentang analisis kos faedah dan pulangan memudahkan sesuatu projek itu dilaksanakan.

“Syarikat Jepun akan tunjukkan kepada kita kos, sasaran, keuntungan dan apakah yang bakal terjadi kepada Malaysia hasil daripada projek yang disepakati,” katanya semasa ditemu bual pada Khamis.

Menurutnya lagi, persediaaan mengenai projek yang dilakukan oleh syarikat Jepun membolehkan kedua-dua pihak melakukan analisis, namun terpulang kepada Malaysia untuk menilai segala yang ditawarkan agar dapat memberi pulangan kepada negara.

Dalam sesi temu bual sama, Jalilah turut mendedahkan kriteria yang diambil sebelum membenarkan mana-mana syarikat untuk melabur di Malaysia.

“Kita akan selidik latar belakang syarikat berkenaan termasuklah reputasi yang baik, tidak memiliki hutang yang banyak dan bebas daripada terkait dengan mana-mana aktiviti yang boleh mengundang muflis.”

Tambahnya, projek-projek cadangan daripada Jepun lebih mudah untuk dinilai memandangkan mereka lebih bersedia menjawab segala soalan yang diajukan.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa Jepun untuk menjadi rakan kongsi dengan Malaysia dalam membangunkan negara Asia Tenggara.

Perdana Menteri menyampaikan pelawaan itu dalam satu pertemuan dengan para pemimpin organisasi utama ekonomi Jepun pada Selasa. -astroawani

0 comments

Post a Comment