Jun 13, 2018

Jamal Yunos Rayu Tangguh Tutup Restoran Gabungan NGO 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemilik Restoran Gabungan NGO 1Malaysia (RGN1M), Datuk Seri Jamal Md Yunos merayu agar tarikh penutupan restoran tersebut dianjakkan pada masa yang lebih sesuai.

Menurut Jamal, permohonan itu dibuat bagi memberi sedikit tempoh untuk urusan pemindahan barang ditambah pekerja sudah mula bercuti Jumaat ini sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Berkenaan arahan penutupan serta-merta Restoran Gabungan NGO 1 Malaysia (RGN1M) Jalan Pahang sebelum 18 Jun 2018.

“Saya meminta jasa baik pihak Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk memberi penangguhan sehingga waktu yang lebih sesuai,” katanya dalam satu kenyataan di laman media sosialnya di Facebook, hari ini.

Tambah Jamal, para pekerja di restoran itu telah mula bercuti dan sukar untuknya membuat kerja-kerja pemunggahan.

“Penangguhan tersebut atas dasar memberi ruang dan masa untuk pihak kami melakukan proses mencari lokasi baharu serta proses pemindahan barang di RGN1M Jalan Pahang,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Jamal turut menjelaskan tujuan penubuhan restoran itu bagi menyediakan makanan tengah hari percuma kepada warga kota dan menafikan sebarang keuntungan diambil daripada aktiviti kebajikan itu.

Terdahulu, Peguam kepada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Mohd Imran Tamrin bakal mengadakan pertemuan dengan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan berkaitan notis penutupan tersebut. -astroawani

0 comments

Post a Comment