PARIS – Perancis meningkatkan kehadiran tenteranya di rantau Indo-Pasifik dengan mengerahkan kapal-kapal perang ke Laut China Selatan dan merancang latihan udara untuk membantu menghalang kekuatan tentera China di kawasan perairan bertindih.
Pada akhir bulan lalu, kapal induk Perancis, Dixmude dan sebuah frigat belayar di Kepulauan Spratly dan mengelilingi terumbu-terumbu karang yang ditukar menjadi pulau kecil oleh China.
Misi itu bertujuan menghalang tuntutan Beijing ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan yang kaya dengan sumber alam semula jadi.
“Rondaan kami termasuk belayar menghampiri pulau-pulau kecil ini bagi mendapatkan maklumat risikan dengan semua petunjuk yang boleh digunakan di perairan antarabangsa,” kata pegawai pemerintah Dixmude, Jean Porcher kepada pemberita dalam satu temu bual video.
Menulis dalam akhbar The Wall Street Journal, seorang penyelidik dari badan pemikir, Institut Hudson yang turut sama belayar berkata, beberapa kapal frigat dan korvet China mengekori kapal-kapal Perancis itu.
Sehingga kini, Amerika Syarikat mengetuai konfrontasi ke atas China berhubung tuntutan wilayah oleh Beijing di Laut Cina Selatan.
Perairan itu turut dituntut oleh jiran-jirannya terutama Vietnam.
Namun, hanya Perancis dan Britain merupakan negara Eropah yang kerap menghantar tentera laut ke rantau itu sekali gus campur tangan dalam pertikaian serantau.
Paris dan London menghantar kapal perangnya ke Laut Cina Selatan antara tiga hingga lima kali dalam setahun.
Pada Ogos ini, tentera udara Perancis akan mengadakan latihan terbesarnya di Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada strategi untuk menandakan kehadiran Perancis di rantau berkenaan.
Asia Tenggara turut didiami oleh 1.5 juta rakyat Perancis di luar negara.
Tiga pesawat pejuang Rafale, sebuah pesawat pengangkut A400M dan kapal terbang pengisi minyak, C135 akan terbang dari Australia ke India dan melakukan beberapa hentian di sepanjang laluannya.
Operasi udara dan laut itu susulan lawatan Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke Australia bulan lepas.
Dalam lawatannya, Macron bercakap mengenai keperluan untuk melindungi rantau Indo-Pasifik daripada ‘hegemoni’, merujuk kepada kebangkitan Beijing. –AFP
0 comments
Post a Comment