BANGKOK: Operasi menyelamat gua Tham Luang berakhir dengan jayanya apabila kesemua 12 remaja bersama jurulatih mereka berjaya dikeluarkan setelah terperangkap di dalam gua itu selama 17 hari dalam operasi yang dianggap 'mustahil' oleh pemerhati dari seluruh dunia.
Rata-rata memuji usaha menyelamat yang menggabungkan kepakaran agensi profesional dari dalam dan luar negara ini sepanjang tiga hari operasi dijalankan.
Namun kejayaan operasi itu mungkin tidak tercapai jika tidak kerana seorang individu yang memaklumkan sendiri 'trauma' berada lebih dua minggu di dalam gua kelam itu kepada pasukan penyelamat.
Beliau ialah salah seorang remaja yang terperangkap di dalam gua Tham Luang itu.
Adul Sam-on, 14, memainkan peranan amat penting ketika pasukan penyelamat pertama dari Britain tiba ke lokasi mereka pertama kali dilihat di 'Pantai Pattaya'.
Apa yang membuatkan pemain bola sepak Wild Boars ini berbeza daripada yang lain ialah kemampuannya berbahasa Inggeris dengan pasukan penyelamat Britain itu ketika mereka ditemui.
Kebolehannya itu telah memudahkan pasukan penyelamat mengetahui keadaan serta keperluan mereka yang ketika itu telah berada di dalam gua tersebut selama 14 hari.
Dalam negara yang hanya satu pertiga populasinya berbahasa Inggeris, kemampuan Adul berkomunikasi dengan penyelam British pada Isnin malam lalu adalah kebolehan yang amat diperlukan di saat kritikal ketika itu.
Selain bahasa Inggeris, remaja ini juga diberitakan fasih dalam empat lagi bahasa iaitu Thai, Burma, Mandarin dan Wa (bahasa masyarakat berdekatan Myanmar dan China).
Adul lahir dalam keluarga miskin. Ibu bapanya meninggalkannya di bawah jagaan paderi gereja lapan tahun lalu akibat kemiskinan.
Lahir di wilayah Wa berhampiran Myanmar, peluang pendidikan dan pekerjaan amat sedikit.
Sebaliknya wilayah ini terkenal kerana pengedaran dadah dan perang gerila.
Namun di sebalik kesusahan itu, Adul bertekad untuk berjaya, malah jauh mengatasi rakan sekelasnya.
Menurut laporan media, Adul digambarkan rakan dan gurunya sebagai seorang yang mahir dalam segala perkara.
Selain dikenali sebagai pelajar pintar di sekolahnya, dia mahir bermain tiga alat muzik, menang pelbagai trofi dalam setiap jenis sukan daripada bola tampar ke futsal. -astroawani
0 comments
Post a Comment