Jul 14, 2018

Isu Kanak-kanak Tanpa Sijil Lahir Perlu Dikaji - Aziz Jamman

KOTA KINABALU – Gesaan Sarawak supaya kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ketiadaan sijil lahir dalam kalangan kanak-kanak di negeri itu perlu dikaji, termasuk dari sudut implikasi perundangan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Aziz Jamman berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan dan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat kerana berkemungkinan akan ada implikasi tertentu, termasuk melibatkan perubahan akta atau undang-undang sekiranya gesaan berkenaan ditunaikan.

"Permintaan mereka (Sarawak) ini, insya-Allah di peringkat kementerian perlu dikaji kerana sebagaimana kita tahu dalam Perjanjian Malaysia 1963, ada kuasa-kuasa tertentu yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

"Bagaimanapun, yang pastinya, jika Sarawak minta (kuasa diserahkan kepada kerajaan negeri menyelesaikan isu ketiadaan sijil lahir dalam kalangan kanak-kanak), saya fikir Sabah pun pasti akan minta (perkara sama)," katanya pada Program Turun Padang di Pasar Manggatal di sini, hari ini.

Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung gesaan berkenaan yang disuarakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Kitang Lo Khere Chiang dalam sesi perbahasan pada Sidang Dun Sarawak, Khamis lalu.

Khere Chiang menggesa kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa sijil kelahiran di negeri itu memandangkan angka ketiadaan sijil lahir yang dikeluarkan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri pada awal tahun ini cukup membimbangkan. -Bernama

0 comments

Post a Comment