KUALA LUMPUR: Jumlah jam bekerja di Malaysia harus dikurangkan bagi meningkatkan tahap produktiviti negara.
Menurut Ahli Majlis Konfederasi Penyedia Perkhidmatan Malaysia (MSPC), Mustapha Kamal Zulkarnain, ini kerana negara-negara dengan tahap produktiviti yang tinggi kebanyakannya mempunyai jumlah jam bekerja yang rendah.
“Kita harus kaji semula jumlah jam bekerja, kerana jumlah jam bekerja yang panjang mungkin tidak efektif dalam meningkatkan tahap produktiviti,” kata beliau.
Menurut IMD World Competitiveness Yearbook 2018, Malaysia menduduki tangga ke-38 dalam tahap produktiviti keseluruhan negara berbanding 62 buah negara.
Negara jiran Singapura, pula menduduki tangga ke-5 dalam tahap produktiviti keseluruhan negara berbanding 62 negara.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) menduduki tangga pertama dalam senarai ini, diikuti Qatar dan Saudi Arabia masing-masing di tangga kedua dan ketiga.
Tahap produktiviti ini diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi setiap individu yang bekerja dan diukur dalam Dolar Amerika.
Walaupun, tahap produktiviti Malaysia masih rendah berbanding beberapa negara utama, jumlah jam bekerja di Malaysia sangat tinggi.
Malaysia menduduki tempat kedua dengan purata 2,248 jam bekerja setahun dalam senarai jumlah jam bekerja berbanding 63 negara.
Apa Kata Rakyat?
Menurut seorang peguam, Sugania Gobindan, pekerja di negara ini bekerja dalam tempoh yang panjang hingga memberi kesan kepada produktiviti.
Tambahnya tempoh bekerja yang pendek akan menghasilkan kualiti kerja lebih baik termasuk untuk semua sektor di Malaysia.
Sugania turut meminta kerajaan baru supaya memastikan hari Sabtu dan Ahad diberikan cuti buat semua golongan masyarakat.
Turut senada, seorang kerani kerajaan, Azriq Asyraf apabila hanya mencadangkan tempoh bekerja dipendekkan kepada 4 jam sehari.
Sementara itu, seorang guru pra-sekolah, Shobana Chandran berkata dia berharap guru-guru pra-sekolah diberikan waktu bertugas yang lebih fleksibel.
Ini kerana kebanyakan daripada guru pra-sekolah terpaksa bekerja pada hari Sabtu dan Ahad hingga menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersama keluarga. -astroawani
0 comments
Post a Comment