Jul 12, 2018

Masyarakat Kudat Bakal Nikmati Limpahan Ekonomi

KUDAT: Masyarakat Kudat bakal menikmati limpahan ekonomi selepas kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) melaksanakan 13 teras yang dijanjikan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, beberapa lokasi di Kudat kini dilihat masyarakat dunia sebagai kawasan termiskin dan perkara itu tidak boleh berterusan.

“Berikutan itu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini iaitu Ben Chong (Tanjong Kapur) dan Mohammad Mohamarin (Banggi) masing-masing memegang jawatan sebagai Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian serta Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi.

“Mereka memainkan peranan penting dalam usaha membantu kerajaan bagi membangunkan daerah Kudat,” katanya ketika pada Majlis Kesyukuran Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama Masyarakat Kudat, di sini pada Selasa.

Turut sama Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Ben Chong dan Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi Mohammad Mohamarin.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Kudat juga bakal menjadi tumpuan pelabur-pelabur utama dunia apabila pelabuhan terbesar di Malaysia siap dibina di daerah itu.

Bagaimanapun katanya, sebelum pembinaan pelabuhan dapat dilaksanakan, kerajaan akan menaik taraf kualiti dan mutu jalan raya yang ada agar mampu memenuhi jangkaan oleh para pelabur.

“Kita juga bercadang untuk membina sebuah lapangan terbang di daerah ini selain mewujudkan hab pusat untuk kegiatan import dan eksport.

“Saya pecaya dengan kemajuan yang dicapai daerah ini nanti, rakyat di sini sudah pasti mampu menikmati kemakmuran dan keharmonian ekonomi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Warisan adalah untuk semua kaum dan jangan wujudnya mana-mana pihak tidak bertanggungjawab menimbulkan sentimen perkauman di negeri ini.

Katanya, selain Kudat kerajaan juga akan membangunkan ekonomi serta prasarana asas di seluruh negeri.

Pada majlis itu, Jaujan turut menyerahkan sumbangan kepada Sekolah Menengah (SM) Pei Tsin Kudat berjumlah RM10,000. -utusanborneo

0 comments

Post a Comment