Jul 14, 2018

Mufti Perlis Cadang Dr. Ramasamy Dan Zakir Naik Berdebat Secara Terbuka

KUALA LUMPUR 14 Julai - Atas semangat Malaysia baharu yang terbuka dan telus, Mufti Perlis Prof. Madya Datuk Dr. Mohd.

Asri Zainul Abidin mencadangkan agar pendakwah Islam terkenal, Dr. Zakir Naik dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy dan berdebat secara terbuka.

Dalam satu kenyataan di Facebook beliau, Mohd. Asri mencadangkan debat tersebut berdasarkan tajuk Who is the real terrorist? (Siapa pengganas sebenar?) dan pihak yang kalah perlu dihantar pulang ke India.

"Saya ingin mencadangkan satu debat antara Dr Zakir Naik (Pendakwah muslim, individu yang dikehendaki oleh Kerajaan India) dengan Dr. Ramasamy (Tokoh DAP, individu yang dikaitkan dengan pertubuhan pengganas Tamil antarabangsa) dibuat segera.

"Debat ini hendaklah dibuat secara terbuka yang dapat disaksikan oleh setiap lapisan rakyat. Siaran langsung media hendaklah diberikan ruang. Biar rakyat menjadi saksi tentang polemik ini," kata Mohd. Asri.

Mohd. Asri berkata, jika benar DAP mementingkan kebebasan bersuara, nilai intelektual dan hak rakyat menilai kebenaran, parti itu wajar menyahut cadangan yang dilontar beliau.

Mufti Perlis mendakwa, jika DAP enggan menyahut cabaran maka isu yang ditimbulkan oleh parti itu hanya sikap permusuhan antara mereka dan umat Islam semata.

"Berdasarkan desakan mereka, maka saya cadangkan sesiapa yang jelas tewas dalam debat mungkin boleh dihantar pulang ke India seperti yang menjadi hasrat mereka. Salah seorang akan pulang ke sana.

"Mohon semua pihak khususnya rakyat awam membantu menggesa debat ini diadakan dengan segera," kata Mohd. Asri.-UTUSAN

0 comments

Post a Comment