Jul 11, 2018

Perancis Mara Ke Final Piala Dunia Rusia 2018

ST PETERSBURG: Jaringan Samuel Umtiti pada minit ke-51 perlawanan sudah memadai untuk Perancis mara ke perlawanan akhir Piala Dunia FIFA di Rusia selepas menewaskan Belgium 1-0.

Perlawanan di Saint Petersburg itu menyaksikan Belgium menguasai 30 minit pertama permainan dengan Perancis mempunyai hanya satu cubaan ke arah gol lawan.

Antara peluang awal yang diperoleh Belgium adalah daripada Eden Hazard yang menyaksikan cubaannya pada minit ke-16 tersasar melintasi gawang.

Dua minit kemudian, Perancis akhirnya mengugat gawang Belgium dengan cubaan jarak jauh Blaise Matuidi yang singgah tepat kepada penjaga gol skuad the Red Devils, Thibaut Courtois.

Hazard mempunyai satu lagi cubaan pada minit ke-19 namun ia ditanduk keluar pertahanan Perancis, Raphael Varane.

Satu lagi peluang hadir pada minit ke-22 untuk Belgium namun penjaga gol skuad Les Blues, Hugo Lloris tangkas menyelamatkan tendangan Toby Alderweireld untuk kedudukan kekal 0-0.

Penyerang Perancis, Olivier Giroud yang dikritik hebat penyokong selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam kejohanan kali ini terus kempunan gol, apabila tandukannya sekadar singgah di tepi jaring selepas menerima hantaran Benjamin Pavard.

Peluang terbaik untuk Perancis berada di depan dinafikan Courtois apabila menahan cubaan Pavard dengan kakinya selepas pertananan Les Blues itu berjaya meloloskan diri dari kanan padang.

Perancis bermain cantik dalam babak kedua dengan beberapa serangan yang berbahaya ke arah gawang Belgium, namun Giroud terus buntu mencari gol untuk pasukannya apabila cubaannya dihalang Vincent Kompany.

Perancis kemudian memanfaatkan peluang untuk mendapatkan gol dari sepakan sudut, apabila Umtiti menanduk masuk hantaran Griezmann.

Nasib malang terus menimpa Giroud apabila sekali lagi dinafikan gol pada edisi Piala Dunia ini, apabila tendangannya diselamatkan Courtois, walaupun sudah menerima hantaran cantik Kylian Mbappe yang menggunakan tumitnya.

Peluang terbaik Belgium untuk menyamakan kedudukan sekali lagi gagal dimanfaatkan skuad bimbingan Roberto Martinez itu pada minit ke-65, apabila Marouane Fellaini gagal menanduk bola tepat ke arah gol, walaupun menerima hantaran silang yang cantik daripada Dries Mertens dari kanan padang.

Terdesak mencari gol penyamaan, Axel Witsel membuat satu rembatan jarak jauh yang dapat dibaca Lloris, yang menampannya keluar dari kawasan bahaya, pada minit ke-81.

Dua minit sebelum tamat, Kevin De Bruyne membuat satu hantaran sepakan percuma bahaya ke arah gawang Perancis namun pemain gantian Perancis, Steve Nzonzi menanduk keluar bola untuk Perancis terus di depan.

Perancis yang banyak bertahan di penghujung permainan mempunyai beberapa peluang untuk menggandakan jaringan dari serangan balas dalam masa kecederaan, bermula dengan cubaan Griezmann yang mudah diselamatkan Courtois.

Pada minit terakhir masa kecederaan, Corentin Tolisso gagal menyudahkan hantaran Pogba.

Perancis berjaya bertahan untuk mengesahkan tempat ke final di Stadium Luzhniki, Moscow pada 15 Julai dan akan bertemu pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir antara Croatia dan England. -astroawani

0 comments

Post a Comment