Jul 5, 2018

'Nama Saya Solongo Bukan Selangor'

ULAANBAATAR (Mongolia): "Nama saya Solongo bukan Selangor," kata Solongo Manlai, 26, pegawai perhubungan untuk delegasi Malaysia di Persidangan Peringkat Menteri Asia Bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR) di sini.

Usikan itu sudah menjadi kelaziman bagi Solongo ketika menuntut di Universiti Limkokwing, Cyberjaya dari 2007 hingga 2011.

"Saya dah biasa dengan usikan seperti ini terutama sepanjang empat tahun di Malaysia.

"Mungkin sebab itu juga nama saya senang diingati rakan di kolej kerana mirip nama Selangor," katanya ketika ditemui pada persidangan itu.

Solongo berkata, ketika mula belajar di universiti itu, dia baru berusia 15 tahun dan sentiasa merindui keluarga di Mongolia.

"Disebabkan itu, setiap tahun selama tiga bulan nenek saya akan berada di Malaysia untuk melawat dan memantau keadaan saya.

"Dalam tempoh itu, dapatlah saya melepaskan rindu terhadap masakan Mongolia.

"Tapi saya juga gemar makanan Malaysia seperti nasi lemak, nasi goreng ayam, tomyam, roti nan keju dan minum teh tarik," kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Beliau menganggap pengalamannya di Malaysia sebagai kenangan indah dalam hidupnya.

"Saya mengambil kesempatan itu untuk melancong ke beberapa tempat menarik seperti Pulau Perhentian dan Tioman, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

"Walaupun sudah tujuh tahun meninggalkan Malaysia, saya tidak putus hubungan dengan kenalan lama termasuk bapa angkat saya yang juga pemandu teksi berbangsa Melayu dan kakak angkat berbangsa India," katanya yang menyambung pelajaran peringkat sarjana di Amerika Syarikat. -BH Online

0 comments

Post a Comment