KOTA KINABALU - Sebanyak 693 kes kemalangan jalan raya membabitkan pelbagai jenis kenderaan dicatatkan berlaku di Sabah sepanjang pelaksanaan Op Selamat 15 yang bermula 29 Mei hingga Rabu lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 15 peratus berbanding tempoh sama Op Selamat 13 iaitu sebanyak 811 kes.
Katanya, jumlah kes membabitkan kemalangan maut juga menurun iaitu 20 kes kematian tahun lepas berbanding 18 kes pada Op Selamat 15 yang mana kedua-duanya dilaksanakan sempena sambutan Aidilfitri.
“Mangsa maut yang paling ramai adalah kategori pengguna motosikal iaitu sebanyak sembilan kes membabitkan 12 kes kematian yang direkodkan yang berlaku di kawasan ‘Black Spot’,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Omar, sepanjang Op Selamat 15 ini juga, sebanyak 25,179 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan berbanding 20,105 saman pada Op Selamat 13.
“Bagi kes jenayah pecah rumah, tiada laporan diterima tahun ini melibatkan kediaman yang telah didaftarkan dengan polis bagi tujuan pemantauan dan keselamatan,” jelasnya. - BERNAMA
0 comments
Post a Comment