Jun 15, 2019

Laporan Naik Gaji Polis Akan Diserah Kepada Kerajaan

KUANTAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertimbangkan untuk menaikkan kadar gaji serta elaun melibatkan kira-kira 82,000 anggota polis berpangkat sarjan dan ke bawah di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kertas laporan kajian berhubung cadangan kenaikan gaji serta elaun tersebut akan diserahkan kepada kerajaan dalam tempoh dua bulan.

Tambah beliau, peratus kenaikan gaji serta elaun tersebut akan ditentukan sepenuhnya oleh Kabinet mengikut kemampuan kewangan kerajaan pada ketika ini.

"Insya-Allah, perkara ini sedang diusahakan. Polis mengambil pendekatan ini kerana ia (isu gaji) menjadi antara sebab anggota terlibat masalah salah laku termasuk rasuah," ujar Abdul Rahim semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Beliau berkata demikian sejurus menyaksikan Komisioner Datuk Seri Mohd. Zakaria Ahmad menyerahkan tugas Ketua Polis Pahang kepada Deputi Komisioner Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri selaku pemangku.

Sehubungan serahan tugas itu, Mohd. Zakaria akan memulakan tugas baharu sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Kuala Lumpur berkuatkuasa 17 Jun ini. - K! ONLINE

0 comments

Post a Comment