Sep 6, 2012

Nik Aziz Tak Kisah Kenyataan Karpal

KOTA BHARU- Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan keupayaan, hukum hudud dalam mengatasi jenayah di Malaysia, langsung tidak menggugat hubungan baik sesama Pakatan Rakyat (PR).

Nik Aziz (dua kiri) disambut mesra oleh Nik Amar (kiri) dan pegawai peribadinya, Hasan Mamat (kanan) pada sambutan Hari Raya Pas, Pengkalan Chepa, semalam.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, hukum hudud bukan dilaksanakan di bawah undang-undang Pas, sebaliknya ia merupakan hukum Islam yang dilaksanakan di beberapa negara Islam sejak penubuhan negara Islam lagi, termasuk di Arab Saudi yang jelas dapat mengurangkan kadar jenayah di negara itu.

"Perkara ini tidak perlu diperbincangkan kerana ia adalah hukum agama dan bukan ideologi, kalau hukum dunia kita boleh tolak tapi jika kita sebagai golongan Islam, tolak agama maka akan terima pembalasan di akhirat kelak.

"Hudud lebih baik dari hukuman gantung sampai mati, walaupun pencuri dipotong tangannya atas kesalahan itu, sekurang-kurangnya dia (pesalah) masih boleh bekerja dan ia boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat, jika melakukan kesalahan seumpama itu mereka akan menerima hukuman setimpal," katanya kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Raya Pas Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama di sini semalam.

Hadir memeriahkan majlis, Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang, Wan Ubaidah Omar.

Mengulas mengenai isu terbabit, beliau berkata, kenyataan pucuk pimpinan DAP itu, langsung tidak menjejaskan hubungan di antara PR malah mengukuhkan hubungan antara mereka kerana perlaksanaan hukuman itu jelas termaktub dalam Islam walaupun ada pihak yang tidak bersetuju. - SinarHarian

0 comments

Post a Comment