Nov 19, 2013

Umno Penampang akan usul cuti umum Krismas dua hari

KOTA KINABALU: Umno Bahagian Penampang akan mengusulkan cuti umum dua hari bagi sambutan Hari Krismas di Sabah dalam Perhimpunan Agung Umno selama enam hari bermula 2 Disember depan.


Ketuanya Datuk John Ambrose berkata usul itu adalah suara majoriti rakyat melalui Umno Bahagian Penampang. Menurutnya rakyat Sabah pernah menikmati cuti dua hari Krismas sebelum tahun 1963.

“Saya hanya boleh mencadang kerana saya bukan wakil rakyat atau menteri dan terpulang kepada pihak atasan untuk membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Umno Bahagian Penampang, di Palace Hotel, di sini, Sabtu.

John berkata selain itu, Umno Bahagian Penampang juga mencadangkan supaya peruntukan parlimen dikongsi bersama diantara semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Penampang.

Berkenaan dengan persediaan untuk merampas semula kerusi negeri dan Parlimen Penampang daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata Umno Bahagian Penampang akan membuat persediaan awal dengan menggerakkan kesemua sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

“Kita akan menggerakkan kesemua tiga sayap Umno untuk turun padang dan memberikan penjelasan kepada rakyat akar umbi mengenai usaha yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan untuk membela nasib rakyat dan memastikan kita dapat merampas semula kerusi Penampang.

“Memandangkan sambutan Hari Krismas tidak lama lagi, kami juga akan turun padang bertemu penduduk kampung untuk mengadakan program-program untuk Krismas,” katanya.

Sementara itu mengenai kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang menyatakan Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri melepaskan jawatan masing-masing berikutan kejadian serangan yang berlaku di Pulau Pom Pom, John berkata pemimpin (Yong) tidak wajar mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

“Kejadian ini tidak dijangka, apatah lagi kawasan persisir pantai Timur Sabah yang panjang dan luas. Kita tidak boleh sesuka hati menyeru menteri itu dan menteri ini meletak jawatan gara-gara kejadian malang itu, ianya diluar kawalan mereka,” katanya.

Sebaliknya John mengajak rakyat Sabah termasuk pemimpin politik supaya memberi kepercayaan kepada pihak polis untuk melakukan yang terbaik.

Sumber: New Sabah Times

0 comments

Post a Comment