Aug 20, 2017

Skandal 1MDB Daripada Sivil Kepada Jenayah

Dalam tampalan 4 Ogos bertajuk “Kecuaian Jenayah 1MDB” saya, antara lain, menulis, “Tapi kalau bon RM2.5 bilion itu adalah untuk bayar hutang 1MDB, ia bukan perkara biasa malah boleh dianggap kecuaian jenayah (criminal negligence) dalam pengurusan kewangan negara.”

1MDB

Saya merujuk kepada kes bekas Perdana Menteri Thai, Yingluck Shinawatra, yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan “criminal negligence” kerana menyebabkan kerugian kira-kira AS$1 bilion (lebih kurang RM4.3 bilion) dalam pelaksanaan subsidi padi.

Jumlah ini amatlah kecil berbanding duit 1MDB yang lesap dan kesalahan Yingluck ringan berbanding jenayah kewangan 1MDB.

Yingluck dituduh buat salah dalam pemberian subsidi kepada penanam padi. Duit 1MDB masuk akaun Najib dan untuk anak bini serta Jho Low berfoya-foya.

Kita tahu bahawa tindakan macam yang berlaku di Thailand itu tidak akan berlaku di Malaysia – setidak-tidaknya selagi kerajaan Umno/BN pimpinan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, berkuasa.

Tidak ada sesiapa pun di muka bumi ini menongkat langit. Kuasa akan hilang dan nafas akan terhenti. Hatta Firaun yang mengaku Tuhan dan mahu hidup selama-lamanya itu pun akhirnya mati dan kering dibakar padang pasir.

Secara kebetulan, pada 11 Ogos agensi berita ekonomi Bloomberg melaporkan yang pihak berkuasa Amerika sedang menaikkan taraf siasatan skandal 1MDB daripada sivil kepada jenayah.

Bagi kita mungkin kebetulan tetapi ialah adalah kehendak dan perancangan Allah. Doa rakyat jelata yang teraniaya lambat laun akan dimakbulkan.

Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) dilaporkan meminta mahkamah di Los Angeles menangguhkan kes sivil terhadap 1MDB, khususnya ke atas Jho Low dan konco-konconya - termasuklah anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz - agar tidak mengganggu siasatan jenayah.

Maksudnya, pihak berkuasa Amerika telah menaikkan taraf tindakan ke atas pencurian duit 1MDB dan penggunaan duit haram itu di bumi Amerika daripada kes sivil kepada jenayah.

Ini adalah proses biasa di Amerika. Mereka mulakan dengan penyiasatan dan tuduhan sivil (civil indictment) kemudian apabila tindakan sivil itu berjaya atau menghasilkan bukti yang kukuh, mereka naikkan tarafnya kepada tuduhan jenayah (criminal indictment).

Itulah antara kaedah yang digunakan oleh Rudolph Giuliani ketika beliau menjadi Peguam Negara Amerika bagi Daerah New York Selatan pada tahun 1980-an bagi memusnahkan rangkaian jenayah Mafia di bandar raya itu. Giuliani kemudiannya menjadi Datuk Bandar New York.

Ironinya, tidak banyak beza di antara jenayah ganas Mafia seperti yang didramatisasikan dalam siri filem “The Godfather” dengan jenayah korporat yang diabadikan oleh Riza dalam filem terbitan bersamanya “The Wolf of New York”.

Penyiasatan jenayah 1MDB di Amerika itu melibatkan wang yang dicuri daripada 1MDB yang didakwa digunakan untuk membeli hartanah, lukisan, emas pertama, jet eksekutif, kapal layar dan menerbitkan filem.

Nilai harta curi itu dianggarkan kira-kira AS$1.7 bilion atau lebih kurang RM7.3 bilion dan melibatkan kegiatan jenayah yang dilakukan di bumi Amerika sahaja.

Siasatan jenayah di Amerika itu menyusuli tindakan jenayah yang sudah pun diambil oleh Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) yang menyebabkan beberapa orang eksekutif yang terlibat mengubah wang haram 1MDB didenda dan dipenjarakan, dan dua buah bank ditutup.

Inilah ironinya. Negara-negara yang orang kita hina sebagai negara kafir telah atau sedang bertindak terhadap “jenayah abad” (crime of the century) ini tetapi negara kita yang kononnya Islam menyapunya ke bawah permaidani.

Tetapi kita semua tahu bahawa bangkai gajah mustahil boleh disembunyikan selama-lamanya apatah lagi apabila baunya semakin hari semakin meloyakan.

Dalam usaha menimbus bangkai itu, imej Malaysia menjadi amat buruk, ringgit terus lemah, hutang negara melambung dan kebolehpercayaan kerajaan jatuh merudum.

Semakin hari kita semakin terjajah kerana mengemis hutang, khususnya daripada regim komunis di Beijing, untuk membayar hutang 1MDB yang telah mencapai RM50 bilion pada awal tahun 2016. -kadirjasin

0 comments

Post a Comment