Aug 19, 2017

'Takkan Najib Nak Tangkap Saya' - Isa Samad

Penahanan reman selama lima hari melibatkan bekas Pengerusi Felda dan FGV bukan saja mengejutkan keluarga dan rakan-rakannya, tetapi juga dikatakan Isa Samad sendiri.

Isa Samad rasuah

Isa Samad, walaupun sedar beliau mungkin perlu memberi keterangan kepada SPRM berikutan beberapa orang yang dipercayai ada kaitan dengan pembelian hotel di London dan Kuching sudah ditahan sebelumnya, tetapi jangkaannya hanyalah sekadar memberi keterangan di pejabat SPRM saja.

Beliau tidak percaya akan direman dan akhirnya perlu bermalam di lokap SPRM selama lima hari.

Kepada rakan-rakan dan sahabatnya, selain mengatakan beliau tidak terlibat dalam urusan pembelian hotel itu, Isa Samad juga diberitakan selalu menyebut, "Takkan Najib nak tangkap saya".

Tidak pasti apakah yang menyebabkan Isa Samad terlalu yakin dengan perkara itu, tetapi dipercayai kerana hubungan rapat dan mesranya dengan Najib Razak selama ini.

Pada hari Selasa lalu di mana beliau perlu hadir memberi keterangan pada jam 2.30 petang di pejabat SPRM di Putrajaya, Isa Samad sebenarnya sudah pun dimaklumkan beberapa hari lebih awal mengenai perkara itu

Beliau sedar hakikat itu dan sudah bersedia untuk memberikan kerjasama sebaiknya sebagaimana yang diperlukan SPRM, tetapi menjangkakan beliau hanya perlu diambil keterangannya selama dua atau tiga jam saja.

Ahli Parlimen Jempol dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dikatakan sama sekali tidak menyangka, apatah lagi bersedia, untuk ditahan reman, memakai baju oren yang bertulis "Lokap SPRM" serta akhirnya menghuni lokap agensi pencegah rasuah itu selama lima hari.

Apatah lagi, dalam usianya yang mencecah hampir 70 tahun, beliau tidak menjangka nasib sebegitu akan menimpa dirinya dan Najib seperti tidak cuba melindunginya.

"Takkan Najib nak tangkap saya," itulah perkataan yang selalu dilafazkannya.

Tetapi, dengan akhirnya beliau menerima nasib yang tidak disangka-sangka itu, secara tepatnya apabila beliau terpaksa hadir ke mahkamah untuk ditahan reman, Isa barangkali terpaksa akur bahawa Najib yang disangka kawan baiknya itu tidak mampu berbuat apa-apa untuk melindunginya.

Apakah perkara yang melibatkan Isa Samad terlalu besar sehingga sukar bagi Najib mempertahankannya atau memang Najib mahu menjadikannya sebagai "kambing hitam" untuk menunjukkan ketegasannya memerangi rasuah?

Ataukah Najib memang tidak campur sama-sekali dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM berhubung siasatan terhadap Isa Samad?

Kini Isa, dalam kesunyian malam dan keseorangan di lokap SPRM, barangkali juga sudah sedar kenapa sebaik diminta Najib melepaskan jawatan Pengerusi FGV dengan janji untuk diberi jawatan yang sama di SPAD, walaupun sudah beberapa lama berlalu, tetapi jawatannya masih lagi bertaraf Pemangku Pengerusi SPAD.

Kenapa Najib seolah-olah tidak mahu mengesahkan jawatannya sebagai Pengerusi SPAD?

Selepas bebas daripada reman nanti, sama ada akan didakwa atau tidak, Isa Samad tentunya susah hilang "mood" untuk datang ke pejabat SPAD dan mungkin akan melepaskan jawatannya itu.

Imejnya yang sebelum ini disahkan oleh UMNO sendiri bersalah kerana mengamalkan politik wang sehingga digugurkan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan, tentunya menjadi bertambah parah dengan penahanan SPRM kali ini.

Sebagai pilihan terbaik, Isa Samad dalam waktu terdekat ini dijangka akan mengumumkan persaraannya daripada politik serta mengakhiri kariernya sebagai Ahli Parlimen Jempol dan melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang sehingga penggalnya berakhir pada tahun depan. -shahbudindotcom

0 comments

Post a Comment