NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Percubaan Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan reaksi Majlis Keselamatan terhadap peningkatan kekerasan di Gaza jelas menunjukkan sikap kepura-puraan negara itu, sedangkan selama ini nasib mangsa Palestin langsung tidak dibela.
Perkara itu disuarakan Pemerhati Tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Palestin, Riyad Mansour, lapor agensi berita Xinhua.
Pada Selasa AS menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan serangan Israel ke atas Gaza.
"Sikap berat sebelah terhadap soal Palestin bukan sesuatu yang baharu.
"Mereka hanya berpura-pura untuk menangani serangan udara dan roket Israel.
"Sukar untuk memahami gesaan AS terhadap Majlis Keselamatan itu, seolah-olah perkara sama tidak pernah berlaku sebelum ini," kata Mansour pada mesyuarat tergempar itu.
Beliau mengingatkan anggota majlis, sejak protes untuk kembali ke rumah masing-masing dilancarkan rakyat Palestin pada akhir Mac lalu, 118 Palestin termasuk 15 kanak-kanak dibunuh dan sekurang-kurangnya 13,000 orang awam cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel.
Bantahan besar-besaran yang menuntut hak pelarian Palestin itu diadakan dari 30 Mac hingga 15 Mei berhampiran sempadan Gaza-Israel. -bernama
0 comments
Post a Comment