May 25, 2018

Morgan Freeman Di Dakwa Lakukan Gangguan Seksual

Pemenang Oscar, Morgan Freeman menjadi selebriti terbaru di Hollywood dikaitkan dengan nafsu buas terhadap wanita.
Pelakon veteran yang disegani ramai itu kini dituduh terbabit dalam serangan seksual atau berkelakuan tidak senonoh ke atas sekurang-kurangnya lapan wanita.
Pendedahan itu dibuat selepas siasatan dijalankan CNN dan antara mangsa Freeman, 80, ialah wartawan hiburan yang bertugas di stesen berita TV berkenaan.
Dua wartawan lain turut mengaku menjadi mangsa Freeman.
Turut mendakwa sebagai mangsa pelakon filem The Shawshank Redemption itu ialah kru wanita yang bekerja di set penggambaran serta syarikat produksi milik aktor terbabit.
Setakat ini lapan wanita mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual manakala lapan yang lain menyifatkan perbuatan Freeman ke atas mereka sebagai tidak senonoh.
Seorang pembantu produksi yang terbabit penggambaran filem komedi Going In Style mendakwa Freeman sering cuba mengangkat skirtnya dan bertanya sama ada dia memakai seluar dalam atau tidak.
Katanya, pada ketika itu seorang pelakon lain Alan Arkin menyuruh Freeman untuk mengentikan perbuatan tidak senonoh itu.
“Morgan terkejut dan tidak tahu nak cakap apa,” katanya.
Takkan sengaja menyinggung
Berkongsi kisah lanjut, wanita berusia awal 20-an itu berkata, Freeman menggangunya hampir setiap hari dengan komen tidak diingini selain menyentuh punggungnya.
Hal itu, kata mangsa terbabit, menyebabkan dia sering menangis selepas pulang ke rumah.
Terdapat juga dakwaan pelakon Driving Miss Daisy dan Now You See Me itu sering merenung buah dada wanita selain sengaja menghimpit mana-mana pekerja wanita sewaktu sesi fotografi berkumpulan.
Seorang lagi wanita yang bekerja sebagai kru produksi untuk filem Now You See Me berkata Freeman pernah memberi komen mengenai tubuh badan mereka.
“Kami tidak akan memakai baju yang menunjukkan bentuk buah dada atau memakai sesuatu yang menampakkan bentuk punggung, maknanya kami takut berpakaian ketat,” katanya.
Freeman mempunyai karier cemerlang selama lima dekad sebagai pelakon.
Dia merangkul Oscar bagi kategori pelakon pembantu terbaik dalam filem Million Dollar Baby yang ditayangkan pada 2004.
Selain itu, Freeman juga pernah dicalonkan dalam empat kategori untuk Oscar.
CNN menemubual puluhan lagi individu yang pernah bekerja dengan atau untuk Freeman, bagaimanapun sesetengahnya memuji aktor berkenaan dan menegaskan dia biasanya berkelakuan profesional.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, pelakon dan pengarah itu memohon maaf atas perbuatannya dan menyatakan “langsung tidak berniat” untuk menyebabkan mana-mana wanita berasa tidak selesa.
“Sesiapa yang mengenali atau pernah bekerja dengan saya tahu bahawa saya bukan seorang yang akan sengaja menyinggung atau mengakibatkan sesiapa saja berasa terganggu.
“Saya minta maaf kepada sesiapa yang berasa tidak selesa atau tidak dihormati, perbuatan itu tidak sengaja,” katanya.
Freeman antara tokoh Hollywood dituduh melakukan salah laku itu selepas beberapa dakwaan serangan seks dilaporkan mengaitkan penerbit filem Harvey Weinstein.
Ia sebahagian daripada perkembangan gerakan #MeToo yang menentang serangan dan gangguan seksual ke atas mana-mana individu.-mk

0 comments

Post a Comment