Kementerian kesihatan hari ini mengumumkan Klinik 1Malaysia akan dijenamakan semula sebagai Klinik Komuniti.
Operasi keseluruhannya akan dinilai semula dengan klinik yang tidak digunakan secara optimum akan ditutup manakala yang kekal beroperasi akan dibekalkan dengan doktor dan pegawai farmasi.
Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
"Kami memutuskan untuk memberi nama baru iaitu klinik komuniti bagi menggantikan klinik 1Malaysia.
"Ini sejajar dengan matlamat kami agar klinik ini menawarkan khidmat kepada komuniti sama ada di bandar, luar bandar dan pinggir bandar," katanya.
Selain itu, katanya lagi, klinik tersebut yang sebelum ini dikritik kerana tidak menyediakan doktor juga akan dibekalkan dengan pegawai perubatan dan pegawai farmasi, atau sekurang-kurangnya penolong pegawai farmasi.
"Ini untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan," kata anggota parlimen Kuala Selangor itu lagi.
Beliau menjangka proses penjenamaan dan penambahbaikan itu akan menelan belanja antara RM5 juta hingga Rm10 juta serta mengambil masa tiga hingga enam bulan.
Bagaimanapun, katanya lagi, ia hanya akan dibuat di klinik yang memenuhi dua syarat - premis berkeluasan lebih daripada 1,400 kaki persegi dengan ruang untuk perkhidmatan pegawai perubatan dan farmasi, serta didatangi lebih 50 pesakit sehari.
"Kami akan tutup klinik yang tidak memenuhi syarat ini," katanya sambil menambah kakitangan klinik tersebut akan ditempatkan di klinik yang diteruskan operasinya.
Pada masa ini, terdapat 346 klinik 1Malaysia di seluruh negara.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sejumlah 1.8 juta rakyat Malaysia menerima khidmat klinik 1Malaysia sejak Januari lalu. -malaysiakini
0 comments
Post a Comment