KOTA KINABALU 6 Jun - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini menfailkan saman baharu terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Writ saman baharu tersebut difailkan menerusi firma guaman Messrs FT Ahmad & Co, yang mewakili Musa, manakala writ saman pertama yang difailkan pada 17 Mei lalu dibatalkan.
Peguam yang mewakili Musa, Tengku Fuad Tengku Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara tersebut.
Bagaimanapun pendengaran bagi writ saman baharu itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, di sini pada 9 Julai depan.
Musa juga memohon pengisyitiharan mahkamah bahawanya beliau masih lagi Ketua Menteri Sabah yang sah manakala pengakuan sumpah yang dibuat Mohd. Shafie pada 12 Mei lalu adalah tidak mengikut Perlembagaan.
Semalan, Mohd. Shafie memohon untuk membatalkan tuntutan writ saman Musa terhadapnya kerana disifatkan tidak mempunyai asas untuk mencabar pelantikannya sebagai Ketua Menteri.
Permohonan Shafie difailkan pada Isnin lalu melalui firma guaman, Messrs Lind Willie Wong & Chin menerusi afidavit menyatakan pelantikannya adalah berdasarkan kepada majoriti mudah kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) hasil gabungan Warisan, Pakatan Harapan dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO). -UTUSAN ONLINE
0 comments
Post a Comment