SHAH ALAM - Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mempertahankan cadangannya yang menuntut semua sekolah tahfiz di negara ini ditutup.
Beliau mendakwa penyelewengan berlaku di sekolah-sekolah tahfiz susulan beberapa kes yang disebutkan.
Malah katanya, kejayaan sekolah tahfiz melahirkan huffaz profesional adalah terpencil sebaliknya ramai pelajar yang menjadi korban dan membuang masa di sekolah-sekolah tahfiz persendirian.
“Saya ingin menarik perhatian Dr Mujahid (Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa) sebab yang mendorong saya supaya ditutup dulu semua sekolah tahfiz persendirian di negara ini kerana menjadi perdagangan ustaz-ustaz,” katanya melalui tulisan terkini di blognya.
Hari ini, Mujahid menolak cadangan Zainuddin atau dikenali sebagai Zam sebaliknya menekankan pihaknya akan mengawal selia operasi sekolah-sekolah tahfiz di negara ini.
Semalam, Zainuddin menarik perhatian ramai pihak apabila sekali lagi menyuarakan agar semua sekolah tahfiz di negara ini ditutup.
Dalam pada itu, Zainuddin menyenaraikan contoh-contoh kes yang menjurus kepada penyelewengan dalam pentadbiran sekolah-sekolah tahfiz.
Ini termasuk kes penukaran hak milik tanah wakaf oleh seorang ustaz di Pulau Pinang, penggunaan pelajar tahfiz untuk menjual buku agama serta mengutip derma dan pelbagai tragedi seperti kebakaran, penderaan serta tekanan.
Dalam tulisan sama, Zainuddin meletakkan harapan kepada Mujahid dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang dilihat mampu menjadi contoh pembinaan masyarakat Islam yang berkualiti serta terhormat di negara ini. -sinar online
0 comments
Post a Comment