Jul 6, 2018

Israel Mahu Robohkan Kampung Badwi

KHAN AL-AHMAR, Wilayah Palestin – Penduduk dan aktivis menyuarakan kebimbangan semalam bahawa Israel akan merobohkan sebuah perkampungan Badwi yang terletak di kawasan strategik di Tebing Barat sekali gus mengetepikan gesaan masyarakat antarabangsa untuk menangguhkan rancangan itu.

Aktivis-aktivis berkenaan berkata, tentera Israel mengeluarkan satu waran kepada 173 penduduk kampung tersebut, Khan Al-Ahmar kelmarin yang memberi kuasa kepada Rejim Zionis merampas jalan ke lokasi itu.

Jentera berat termasuk sekurang-kurangnya sebuah jentolak dilihat berada di sekitar perkampungan itu semalam sekali gus mengundang spekulasi bahawa sebatang jalan sedang disiapkan bagi memudahkan kerja pemindahan dan merobohkan perkampungan itu.

“Hari ini (semalam), mereka meneruskan kerja-kerja infrastruktur bagi memudahkan tindakan meroboh dan memaksa penduduk berpindah,” kata Amit Gilutz yang merupakan jurucakap kumpulan hak asasi manusia Israel, B’Tselem.

Pihak berkuasa Israel mendakwa bahawa perkampungan dan sekolah di kawasan itu dibina secara haram, manakala Mahkamah Agung Israel menolak rayuan terakhir terhadap kerja-kerja merobohkan perkampungan berkenaan pada Mei lalu.

Gilutz bagaimanapun berkata, penduduk kampung tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membina kediaman mereka tanpa mendapatkan permit pembinaan Israel memandangkan dokumen itu mustahil untuk diperoleh penduduk Palestin di Tebing Barat, kawasan yang dijajah Rejim Zionis.

Khan Al-Ahmar terletak Baitulmuqaddis Timur iaitu berhampiran beberapa penempatan Israel di laluan menghala ke Laut Mati. –AFP

0 comments

Post a Comment