Jan 15, 2019

ILKKM Kolej Kejururawatan Sandakan Ditutup 2021

SANDAKAN: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata beliau sedih sekiranya Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kolej Kejururawatan Sandakan di sini ditutup pada tahun 2021.

Katanya, kolej yang memberikan latihan kejururawatan pertama diwujudkan di negeri Sabah sejak 1965 itu mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Beliau berpendapat ia perlu dikekalkan selain mengambil kira nilai sejarahnya tetapi juga segala kemudahan lengkap dan fasiliti sedia ada telah banyak membantu untuk mendapatkan latihan kejururawatan sejak sekian lama.

Sehubungan itu, katanya, dia akan menemui Menteri di kementerian yang berkaitan supaya ILKKM Kolej Kejururawatan Sandakan ini tidak dihentikan berikutan perancangan penjenamaan semula institut latihan seumpamanya di seluruh negara.

”Saya juga akan membangkitkan perkara ini pada mesyuarat kabinet negeri tidak lama lagi kerana berpendapat institut yang sudah dimulakan di Sandakan sejak 1965 lagi, perlu dikekalkan berikutan mempunyai nilai sejarah.

”Saya amat sedih juga sekiranya institut tersebut dihentikan, malahan saya dimaklumkan bahawa tidak ada hitam putih mengenai rancangan untuk menutup institut ini, tetapi saya mahu pastikan ia tidak berlaku,” jelasnya.

Stephen Wong berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media sejurus mengadakan lawatan kerja ke ILKKM Kolej Kejururawatan Sandakan.

Dalam lawatan itu, Ahli Parlimen Sandakan ini telah mendengar taklimat berkaitan perancangan masa akan datang institut berkenaan yang disampaikan oleh Pengarah ILLKM Sandakan, Sia Seng Mui di Bilik Mesyuarat ILKKM Sandakan.

Hadir sama adalah Pengarah Hospital Dichess of Kent (HDOK) Sandakan, Dr. Francis Paul.

Mengulas lanjut, Stephen Wong memberitahu dia turut menerima banyak rayuan daripada rakyak khususnya di Sandakan agar institut berkenaan dikekalkan selain yakin pihak kepimpinan Kerajaan Negeri juga tidak akan bersetuju dengan penutupan institut itu.

Terdahulu, Sia berkata Kementerian Kesihatan bercadang untuk menutup institut tersebut pada 2021.

Beliau berkata jika cadangan itu direalisasikan, kursus kejururawatan asas dan ortopedik, yang dijalankan di Sandakan, akan diambil-alih oleh
ILKKM Kota Kinabalu, manakala kursus diploma lanjutan kebidanan akan diambil alih oleh ILKKM Tawau.

Sementara itu, Stephen Wong turut mengadakan lawatan ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) kawasan Timur dan mendengar taklimat berkaitan beberapa permasalahan yang melanda antaranya permasalahan sistem kumbahan dan pemotongan rumput di bahu jalan serta permasalahan jalan berlubang di daerah ini.

Taklimat telah disampaikan oleh Jurutera Bahagian Timur, Ir. Kenny Tseu di Bilik Mesyuarat JKR Sandakan.

Bercakap kepada pemberita, Stephen Wong meminta agar JKR memantau keadaan jalan raya di daerah ini dan memastikan jalan raya rosak serta berlubang diselenggara segera.

Beliau juga berharap masalah sistem pembetungan yang berlarutan sejak lebih dua tahun lalu akan diatasi menerusi kontrak penyelenggaraan baharu demi keselesaan rakyat. -nst

0 comments

Post a Comment