Jul 6, 2018

Tiada Jaminan Harga Beras Turun - BERNAS

SHAH ALAM – Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) tidak dapat memberi jaminan terhadap harga beras negara akan turun jika kerajaan melaksanakan langkah dagangan import beras terbuka kepada semua pemain industri beras di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mohamed Yusoff berkata, ini kerana sebanyak 60 peratus daripada beras putih yang digunakan oleh rakyat Malaysia terdiri daripada beras tempatan dan hanya 30 peratus beras ­diimport.

“Petani di Malaysia kini menikmati harga beras antara yang tertinggi di peringkat serantau iaitu pada RM1,200 bagi satu tan metrik.

“Manakala harga runcit bagi pembeli pula ditetapkan kerajaan pada harga RM2.60 setiap satu kilogram (beras putih lima peratus iaitu antara kadar terendah di rantau ASEAN.

“Oleh itu, kami melihat tiada sebarang jaminan harga beras akan turun kerana sebarang cadangan untuk melaksanakan (dagangan import beras terbuka) hendaklah mengambil kira pelbagai komponen secara holistik di bawah ekosistem industri ini,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung perniagaan dan hala tuju Bernas.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan akan mengkaji untuk menarik semula konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal beras negara kerana ia didakwa hanya dimonopoli sesetengah pihak bagi mengaut keuntungan.

Kertas cadangan mengenai model baharu susulan langkah itu juga dijangka dibentangkan di Kabinet pada bulan Ogos ini.

Menurut Ismail, Bernas tidak memonopoli import beras di negara ini, sebaliknya berperanan sebagai gatekeeper tunggal yang memastikan satu rangkaian ekosistem yang lancar dan dalam masa sama menjamin kebajikan petani.

“Di bawah mekanisme gatekeeper tunggal yang dijalankan oleh Bernas sejak tahun 1974, kami terus memastikan kebajikan petani diutamakan dan bekalan beras kepada pengguna adalah mencukupi.

“Antara yang dilakukan adalah dengan memastikan harga beras import tidak rendah daripada beras tempatan bagi memelihara kebajikan petani serta mengekalkan kestabilan pasaran tempatan,” jelasnya.

Pada masa ini, Bernas hanya memiliki 28 kilang memproses beras di Malaysia dengan sejumlah 152 lagi adalah milik syarikat swasta. -kosmo

0 comments

Post a Comment